Monday, December 15, 2014

Puisi Dan Lagu Rakyat: Membuka Cakerawala Minda


Ucap Utama Seni
Malam Kemuncak PULARA 5

Arena Pangkor,
Pulau Pangkor
13 Disember 2014

Puisi Dan Lagu Rakyat:
Membuka Cakerawala Minda

Oleh JOHAN JAAFFAR




Sewaktu melalui jalan pantai siang tadi, juga merasakan tamparan angin laut Pulau Pangkor yang selalunya hangat, sesekali dingin, mengembalikan banyak ingatan pada saya, sebagai anak kampung yang membesar, walaupun tidak di pulau, tetapi di persekitaran yang hampir sama, dan seistimewa ini.

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir mendeklamasi
 sajak beliau ketika malam kemuncak PULARA 5 di Pangkor baru-baru ini
Puluhan tahun yang lalu, saya diulit kisah silam dan cerita teladan, dari Pak Pandir hingga Batu Belah Batu Bertangkup, juga dibuaikan dengan lagu-lagu rakyat yang indah dan mengesankan.

Siapakah yang akan lupa pada lagu-lagu rakyat dan bait-bait nasihat yang dinyanyikan oleh nenek di sebuah kampung pedalaman:

Timang tinggi-tinggi
Sampai pucuk atap
Belum tumbuh gigi
Sudah pandai baca kitab

Atau mengagumi kehebatan perlambangan dan metafora di dalam lagu-lagu rakyat yang tersohor, antaranya “Indung-Indung”:

Setitik darah jatuh ke darat
Semusim padi tak menjadi
Setitik darah jatuhnya ke laut
Setahun ikan tak bermain

Dan membayangkan kuasa magis dalam:

Bisanya keris tidaklah terkira
Sebulan dagang menggalas lalu
Jejaknya ditikam mati jua

Atau wit dan humour dalam lagu-lagu rakyat:

Tu bulan tu bintang
Tu pokok kayu ara
Mengapa tuan datang
Nak jengok anak dara

Siapa pula yang akan lupa pada baris-baris pantun, gurindam dan peribahasa yang indah dan hebat, antaranya;

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Atau pantun ini:

Anak beruk di kayu rendang
Turun mandi di dalam paya
Huduh buruk di mata orang
Cantik manis di mata saya

Atau lagu pulau di Singapura yang saya rakamkan dalam drama saya Asiah Samiah:

Ligal-ligal manja
Pelanduk bantal ia-ia
Kaul anak syurga
Pulas balas bantal puaka

Benarlah kata Prof Di Raja Ungku Aziz, pantun memancarkan kebijaksanaan akal budi Melayu yang sebenar.  Bagi Pak Ungku, pantun membuktikan “daya akal, kreativiti” Melayu, malah ia merupakan “daya cipta yang canggih”. Beliau menggunakan istilah “genius” untuk menggambarkan kehebatan pencipta pantun Melayu yang tidak bernama.

Lantas wajarlah beliau menelaah 16,000 pantun yang kemudiannya dianalisis sebanyak 78 daripadanya dalam buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu yang merupakan sebahagian daripada siri Syarahan Raja Ali Haji yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya diberikan penghormatan untuk menulis Pengenalan buku itu.

Pantun seperti orang Melayu, tidak mungkin hilang di dunia. Benarlah kata pantun ini:

Kalau berladang kurang tekun
Lesaplah padi ditelan belukar
Kalau hilang tukang pantun
Senyap sunyi bandar yang besar.

Demikianlah saya membuka cakerawala minda saya terhadap seni dan sastera daripada cerita-cerita moral atau nasihat yang diceritakan oleh nenek saya, yang tidak pernah ke sekolah, tetapi mempunyai perbendaharaan cerita yang luar biasa – yang kadang-kala menginsafkan, malah menakutkan, tetapi selalunya menghiburkan.

Saya membesar dengan menonton  Bangsawan, khususnya kumpulan Bintang Timur Opera yang dipimpin oleh Pak Bakar M, yang membawa bersama-samanya bakat terbaik genre itu ketika itu, Rahman B, Rohani B, Rohaya B, Noor KK dan ramai lagi.

Kami juga menunggu datangnya Wayang Cina atau Chinese Opera atau dikenali sebagai pekji atau potehi ke kampung. Wayang Cina menjadi sebahagian daripada seni budaya setempat ketika itu. Kami menontonnya tanpa kekangan agama, tanpa prasangka kaum, melihat kehebatan dekor dan pakaian dan cuba memahami cerita yang kami tidak fahami.

Saya membesar di pentas Sendiwara, kumpulan kampung yang memanfaatkan bahan-bahan tinggalan Bintang Timur Opera. Saya belajar bermain wayang, berdrama, mengurus pentas, menulis skrip malah berlakon yang agaknya membolehkan saya menggerakkan “teater marah-marah” tahun-tahun 70-an sewaktu di Universiti Malaya melalui drama-drama saya, Kotaku Oh Kotaku, Angin, Kering, Sang Puteri, Pasrah dan lain-lain.

Saya, Nordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan, Mana Sikana dan lain-lain lalu dikelompokkan oleh para pengkaji sebagai pelopor “teater absurd” di Malaysia.

Tetapi puisi dekat di hati saya. Malah sekolah Inggeris pada tahun-tahun 60-an memperkenalkan saya pada nursery rhyme yang datang ribuan kilometer dari tempat asalnya di England.

Saya diulit oleh:

Jack and Jill, went up the hill to fetch a pail of water
Jack fell down and broke his spine and Jill came tumbling after.

Humpty Dumpty salah satu karakter kartun klasik
lagu kanak-kanak English atau nursery rhyme yang popular
Apakah relevannya “Here we go round the mulberrybush” bagi anak Kampung Sungai Balang Besar, Muar, 25 kilometer dari peradaban yang terdekat? Atau titipan lagu “London Bridge is falling down?” Atau “Hickory, dickory, dock” atau “Humpty Dumpty sat on the wall, Humpty Dumpty had a great fall?” Atau “Baa, baa, black sheep, have you any wool?”

Malah oleh seorang guru yang datangnya dari England meriwayatkan perihal hebatnya seorang dramatis yang bernama Shakespeare ketika itu. Entah siapa manusia ini, tetapi sudah pasti hebat orangnya lalu, saya memberanikan diri meminjam salah sebuah buku karyanya dari guru yang garang itu.

Oleh guru itu, yang sebenarnya lebih terkejut dek keberanian saya, pelajar paling lemah dalam kelas, telah meminjamkan saya buku Macbeth, salah sebuah karya drama yang paling sukar. Kecuali perkataan seperti the, a, and, what, is dan lain-lain, 99 peratus buku itu tidak saya fahami. Lalu saya menyalin setiap kata dan frasa, dan mengembalikannya pada beliau.

Demikianlah saya mengenal sastera Inggeris dari Shakespeare hingga karya-karya puisi oleh William Blake, William Wordswoth, WB Yeats, Percy Shelly, Elizabeth Browning, T.S. Eliot, dan banyak lagi. Kemudiannya saya mengenal Angelou Maya, Pablo Neruda, Oscar Wilde, Sylvia Plath, selain tentunya Rabindranath Tagore, Octavio Paz, Jorge Luis Borges dan Khalil Gibran. Juga Muhammad Iqbal dan Jalaluddin Rumi.

Demikianlah dunia saya terbuka untuk mendakap karya sastera dalam bahasa Inggeris, lama sebelum saya mengenal sastera Melayu.

Di Universiti Malaya, dunia saya terbuka luas dengan pengajian mengenai sastera terbaik di Nusantara, yang dihasilkan oleh karyawan terbilang, juga ilmuan tersohor. Mereka termasuklah penyair tempatan seperti Muhammad Yassin Makmur (Pungguk),  Ngumba, Usman Awang, Masuri S.N. A. Wahab Ali dan lain-lain.

Saya beruntung, seperti seorang Si Tanggang (dengan izin menggunakan ikon karya Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh)  kembali mengenal sastera anak bangsa. Perjalanan saya jauh daripada karya klasik Inggeris ke sastera India yang mengunggah minda.

Saya lebih beruntung kerana terdedah pada sastera Tamil sewaktu di Universiti Malaya. Saya mengagumi terjemahan Tirukkural yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Ismail Hussein pada tahun 1967. Tirukkural dipercayai ditulis oleh pujangga Thiruvalluvar di antara abad kedua atau kelima Masihi. Ia mengandungi 133 bab dengan 1,330 couplets atau pancapada dan dianggap sastera Tamil yang amat penting. Saya juga diperkenalkan pada sastera Sangam yang mendedahkan saya pada peranan lanskap (tinai) yang ada kaitannya dengan emosi atau perasaan, yang terbahagi pada kurinji (pergunungan), mullai (hutan), murutham (tanah bendang), neithal (pantai) dan paalai (padang pasir).

Universiti Malaya membuka lembaran baharu kepada saya. Pengajian sastera khususnya Nusantara memberikan dimensi pemahaman baharu tentang keunikan, kehebatan dan keajaiban puisi serantau. Cinta saya semakin mendalam terhadap puisi.

Masakan saya tidak tertawan dengan baris-baris ini, saya petik 21 daripada bait-bait puisi yang paling mengesankan saya secara peribadi:
  1.  “Habis kikis, segala cintaku hilang terbang”, dari Nyanyi Sunyi karya Amir Hamzah
  2. “Jauh di sana diliputi awan, terdengar olehku bunyi yang rawan, seperti permata di  dada perawan’, dari Gita Gemala karya Muhammad Yamin.
  3. “Aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang, biar peluru menembusi kulitku,  aku tetap menendang menerajang”. Dari Aku, Chairil Anwar.
  4. “Bulan di atas kuburan”, dari puisi Sitor Sitomurong, Malam Lebaran, yang dipercayai  puisi terpendek dunia.
  5. “Wahai, pelacur-pelacur kota Jakarta, sekarang bangkitlah, sanggul kembali  rambutmu,” dari Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta karya Rendra.
  6. “Kawan-kawanku yang dikasehi, di belakang duri di depan api, kita tidak bisa undur lagi,” dari Duri dan Api, Usman Awang.
  7. “Wangi berseri puspa kemboja, menyambut kami mewakili bonda,” Ke Makam Bonda,  juga oleh Usman Awang.
  8. “Senja ini aku tafakur dalam pencarian, simpul dosa perlu dibuka,”Balada Hilang Peta,  A. Samad Said.
  9. “Tuah lahir untuk menjadi wira, Teja menjadi boneka dalam lagenda,” Surat Teja  Kepada Tuah, oleh Zurinah Hassan.
  10. “Ku masukki kebun sufi Jalaluddin Rumi, ku masukki subuh senja bening…” Di Kebun  Rumi karya Tengku Alias Taib.
  11. “Aku Salleh ben Joned anak bertuah, dijadikan dalam kubang di luar nikah”, Salleh ben Joned, Dendang Si Tegang Pulang.
  12. “Aku sudah belajar jadi kurang ajar, memeluk kenyataan dengan lojika baru, berdebat  dengan hujah-hujah pejal dan nyaring…”,Pulang Si Tenggang, Muhammad Haji  Salleh.
  13. “Kalau bahtera mulai bertolak, dekat kita dengar bumi retak”, Kapal Nuh oleh Subagio  Sastrowarjoyo.
  14. “Ini bukan masanya berbangga sebagai manusia..”Kalau Kita Tak Berasa Hina Tak  Pula Berasa Mulia, karya Baharuddin Zainal.
  15. “Kami benci mentera-mentera, kami benci semua yang bukan datang dari kelenjar dan  darah kami,”Requem oleh Iwan Simatupang.
  16. “Anjasmara, adikku, tinggallah seperti dulu, bulan pun lemban dalam angin, abai dalam  waktu”,Asmaradana, Goenawan Mohamad.
  17. “Aku berkolek di dada laut, dengan jala, jala jemala, ku tebarkan sepenuh tenaga,  memburu rindu memburu rindu”, dlm Kolek Berkolek, J.M.Aziz.
  18. “Ikan-ikan di kaca indah alamnya, ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya,”Ikan-ikan  Di Kaca, Yassin Salleh.
  19. “Katakan padaku sejak puisi mengalir, sejak langit meratap…”Katakan Padaku, Latiff  Muhyiddin.
  20. “Ini kunci iman, rindu keagungan, bara hasrat yang kugenggam, dari binar tujuh  cakerawala,” Dari Benua Cinta oleh Kemala.
  21. “Tugas kita belum selesai rupanya, bagi memartabatkan dan memuliakan bangsa,”  Perjuangan Belum Selesai, Mahathir Mohamad.

Demikianlah baris-baris puisi dari penyair yang besar maknanya bagi saya yang sebenarnya menggilai dunia kepenyairan. Mungkin saudara tidak bersetuju dengan pemilihan saya, tetapi itulah sastera, bahawa kita tidak perlu bersetuju, atau sefaham, kerana seni itu sifatnya subjektif seperti juga keindahan dan kecantikan yang khabarnya in the eyes of the beholder.

Saya sebenarnya juga menulis sajak, sajak yang bukan sajak sebenarnya – sekadar lakaran, conteng-conteng suka, garis-garis geram atau rindu, dalam lakaran yang belum tentu bernama sajak.

Dalam sajak saya yang berjudul “Ini Bukan sajak” saya lakarkan:

Lagipun aku
Hanya sasterawan mendatang
Sasterawan minggir
Sasterawan apung-apungan
Sasterawan pasang siap
Yang cuba menjadi sasterawan dengan bukan sasterawan

Demikian juga kekaguman saya terhadap puisi-puisi karyawan tersohor dunia, yang antaranya T.S. Eliot.

Siapakah yang dapat melupakan baris-baris berbisa dalam puisi tersohornya, “The Hollow Men” yang menjadi inspirasi pada watak nanar Kolonel Kurtz di dalam filem Apocalypse Now arahan Francis Ford Coppola.

Penggila filem tidak akan lupa watak yang dibawakan oleh Marlon Brando sewaktu membacakan puisi “The Hollow Men”:

We are the hollow men

We are the stuffed men

Leaning together
Headpiece filled with straw. Alas!
Our dried voices, when
We whisper together
Are quiet and meaningless
As wind in dry grass
Or rats' feet over broken glass
In our dry cellar……

Shape without form, shade without colour,

Paralysed force, gesture without motion;



Those who have crossed
With direct eyes, to death's other Kingdom
Remember us—if at all—not as lost
Violent souls, but only
As the hollow men
The stuffed men.


Ah, apakah baris-baris sedemikan tidak menyentuh kita, menusuk conscience kita, menambat dera kita, menginsaf dan mencabar minda kita dengan kata-kata yang sedemikian indahnya terpilih, demikian tinggi nilai estetikanya, yang membezakan baris-baris kasar ungkapan yang tidak banyak maknanya melainkan tujuannya menghambat undi dan populariti?

Mungkin benar kenyataan penyair Islam terbilang Muhammad Iqbal yang juga seorang pemikir dan ilmuan bahawa beliau tidak ada negara dan parti, hanya punya komitmen untuk menelaah ilmu. Katanya, negara lahir dari jantung penyair, tetapi berkembang maju dan mati di tangan ahli politik (Nations are born in the hearts of poets, they prosper and die in the hands of politicians).

Sawaktu pasukan Malaysia mengalahkan Vietnam 4-1 pada separuh masa pertama perlawanan AFP Suzuki Cup, saya lantas teringat pada puisi William Blake, “The Tyger” yang ditulis pada tahun 1794 atau kira-kira 220 yang lalu. Lihat ejaan untuk nama haiwan itu bukan tiger tetapi tyger. Saya tweet beberapa baris puisi itu bagi mengingatkan peminat bola sepak pada bayangan kuasa dan kehabatan harimau yang ditulis oleh William Blake:

“Tyger, tyger burning bright,
In the forests of the night.”

Demikianlah peranan puisi dan karya sastera, mengingatkan kita tentang keindahan, keramahan dan keunikan bahasa dalam dunia yang semakin kasar, biadab dan rakus.

Demikianlah juga peranan puisi yang mengingatkan kita pada nilai-nilai keluhuran dan kejujuran dan ketelusan yang semakin berkurang dalam dunia yang mengejar kebendaan dan darjat keturunan.

Dalam negara sendiri di mana suasana tidak menentu  isu perkauman menampakkan belang dan suara sumbang dan lantang mahu mendesak bahawa perbezaan dan kelainan adalah liabiliti atau bebanan, mungkin sastera boleh membawa perbezaan.

Sastera menjadi jambatan pemahaman antara kaum, di antara negara, di antara agamalah peradaban. Sastera tidak mengenal sempadan dan ruang. Semoga pemahaman sastera dan bahasa akan merapatkan yang renggang, mencantumkan yang terpisah, mengarusperdanakan yang terpinggir dan menjalin persefahaman sebenar.

Dengan mengenai karya sastera terbilang Cina, Romance of the Three Kingdoms, juga karya dari India, Mahabharata dan Ramayana kita sebenarnya diperkenalkan dengan warisan kebudayaan dunia. Sastera kita mempunyai banyak persamaan dengan cerita-cerita terbaik dunia. Malah sastera tempatan tidak kurang penghasilan yang mengagumkan. Yang perlu ialah untuk  memastikan ternobatnya seorang sasterawan kita sebagai Pemenang Hadiah Nobel pada satu masa yang dekat.

Tidak banyak orang tahu bahawa puisi bertulis yang terpanjang di dunia sebenarnya lahir dari rantau sebelah sini, karya Bugis yang berjudul La Galigo (300,000 baris) yang jauh lebih panjang daripada Iliad (12,110 baris) The Oddysey (15,693 baris) malah Mahabharata dan Ramayana sekalipun (masing-baring 200,000 baris).

La Galigo yang menceritakan kisah pengembaraan wira bernama Sawarigading dari Luweq yang mencari wanita sejelita adiknya We Tenriabeng yang ditulis dalam bait-bait puisi yang luar biasa.

Jambatan pemahaman ini penting bagi kita. Maka itu saya selalu percaya perlunya diperkenalkan karya-karya terbaik dunia khususnnya dalam bidang puisi kepada pelajar dan rakyat amnya bagi membolehkan kita mengenal hati kemanusiaan. Inilah yang mendasari semangat karyawan seperti Usman Awang yang menekankan aspek kemanusian universal atau humanisme universal.

Ah, Usman Awang, siapakah yang boleh melupakan bagaimana dia mengangkat darjat Bahasa Melayu pada satu tahap yang sedemikian tinggi, menjulangnya sebagai bahasa puitis dan dramatik, dengan kekuatan kata dan ketajaman makna.

Masakan dapat kita lupakan dialog Tun Ali kepada Sri Amerta dalam drama “Menyerahnya Seorang Perempuan”:

Tun Ali: Aku tahu firasat rambut dan alis kening, aku mengenal bintang matanya yang berkilau, aku tahu ulas bibirnya yang ranum, tidak semua perempuan itu bernama perempuan.

Sri Amerta: Bagaimanakah perempuan itu perempuan bagi tuan hamba?

Tun Ali: Seperti kukatakan tadi, ditambah dengan bidang dadanya tekukur diagah, lembut lengannya baldu Cina, harum tubuhnya cempaka di gunung bersama sifat lembut menyerah merelakan tiap gerak dan laku seorang lelaki, lekaki yang tahu menumpahkan berahi. 

Itulah keindahan sastera.

Sebahagian daripada pengujung PULARA 5 yang
berlansung di Arena Pangkor, Pulau Pangkor baru-baru ini
Dalam kerangka inilah saya percaya bahawa siri pertemuan PULARA 5 ini, khususnya di
Pangkor, akan membetik kesederan kita untuk lebih terbuka menerima suara, bicara, rona, citra dan jiwa universal yang kemudiannya boleh dipergunakan untuk memperkuat jati diri, nilai terbaik, keyakinan dan nilai patriotisme sebenar.

Biarlah angin Pangkor menjadi saksi keyakinan kita untuk menghayati dan mencintai yang terbaik dan yang bermutu walau daripada mana sekalipun asalnya.


Inilah tradisi sebuah pulau yang sejarahnya sarat dan kental. Semangat Pangkor seharusnya menjadi mantra baharu keterbukaan kita untuk melihat dunia dari kaca mata dan cekarawala yang terbuka, jujur dan berseni.

Biarlah sebuah Deklarasi Puisi Pangkor kita mungkinkan sebagai bukti komitmen kita melebarkan pemahaman sejagat ke se antero dunia, baik sastera rakyat mahupun sastera bertulis khususnya puisi.

Arena Pangkor yang dibanjiri cahaya lampu berwarna
warni ketika malam kemuncak PULARA 5
Sebelum saya mengakhirkan ucap utama ini, izinkan saya membacakan sebuah puisi sasterawan anak kelahiran Perak yang juga pemenang SEA Write Award 2013, Sdr Malim Ghozali berjudul “Fantasi Malam”:

Baring di ambin malam membelit sepi bumi.  Bulan pun menidurkan angkut-angkut di dinding rumah tua.  Gelita hanyalah kegelapan bukan kejutan akrakadabra.  Jangan impikan.  Tidur atau terjaga dan terjaga atau tidur sekadar membangunkan fantasi.  Kita pun melukiskan nun. Lalu kalam mengalirkan alif dan lam dan lam dan ha.

Di bukit anjing-anjiing liar menangisi hutan yang terbakar.  Sayang mereka tidak mengenal angka-angka untuk tahu kesakitan udara.

Malam kalau sampai hujan pepohonan menggigil dalam kerakusan sang politikus. Gergasi di bulan tak pernah sempurna jalanya untuk menebar kamu.  Berdosakah tikus itu?

Bulan membangkitkan anak kecil dan sang ibu cepat-cepat menyuapkan puting susunya.  Malam pun menyuburkan rohani yang tersembunyi di lipatan alif dan kaf dan wau. Esok pasti siang kalau sangkakala belum dituipkan.

Akhir kata,

“Penyair, karyawan dan seniman, bangunlah untuk menyatakan keinginan kamu untuk melihat sebuah dunia yang aman, tenteram dan sejahtera, bukan yang bergolak dan melemaskan. Kamulah suara sebenar kemanusiaan.”
Terima kasih.


Tuesday, December 9, 2014

“Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia dan Singapura Terhadap Bahasa dan Sastera Melayu”


Majlis Pelancaran Buku Oleh
Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr Rais Yatim
“Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia dan Singapura
Terhadap Bahasa dan Sastera Melayu”
Karya Dato’ Goh Hin San

Dewan Bahasa dan Pustaka
8 Disember 2014
Diperkatakan Oleh JOHAN JAAFFAR


INILAH masa yang paling sesuai untuk menerbitkan buku seperti ini. Dalam suasana tidak menentu di mana isu perkauman menampakkan belang dan suara sumbang dan lantang mahu mendesak bahawa perbezaan dan kelainan adalah liabiliti atau bebanan, buku yang dilancarkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim ini punya makna yang tersendiri.
Petikan akhbar Berita Harian, 9 Disember 2014

Ini waktu yang sukar bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia. Isu perbezaan semakin ketara. Tuntutan untuk pemaparan identiti atau identity contestation begitu membingitkan. Akhir-akhir ini nada perkauman begitu jelas terdengar, mengeruhkan lagi keadaan, mengerhanakan harapan masa depan malah dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian sesama kita.

Demikianlah sukarnya membina sebuah negara bangsa bernama Malaysia. Persetiaan dan kontrak sosial mulai ditanyakan. Teras Perlembagaan yang membenarkan kelainan dan keanekaragaman dan hak mengamalkan kepercayaan mulai dipersoalkan. Perbezaan yang menjadi kekuatan kini mulai menampakkan retaknya. Kita sudah mulai menjurus untuk melihat “Kita” dan “Mereka” atau “Us” and “Them”. Masing-masing mahu menjuarai puak dan bangsa, untuk mengambil jalan sempit mengenepikan kehadiran “Yang Lain” (The Other).

Mungkin di tengah keriuhan politik dan politik kepentingan, para sasterawan, seniman dan karyawan boleh membuat perbezaan. Mungkin harapan untuk melihat jambatan persefahaman terlalu sukar dibina dalam suasana perbezaan politik. Mungkin sastera, budaya dan kesenian mampu menjadi tali penghubung di antara kita.

Kita memerlukan “Interlok” sebenarnya, judul novel Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang sering disalah mengertikan itu. Kita mahukan pemahaman di antara tiga keluarga besar yang diwakili oleh tiga kaum terbesar seperti yang dirakamkan dalam novel itu. Kita perlukan interaksi yang diwakili oleh keluarga Seman, Chin Huat dan Maniam.

Lebih penting lagi kita perlukan satu bahasa yang menjadi pengantara di antara semua kaum-kaum di negara ini – bahasa kebangsaan yang menjadi lingua franca bukan sahaja di dalam negara tetapi di rantau ini. Kita perlukan wahana yang menjadi penghubung antara bangsa – bahasa perpaduan, bahasa integrasi, bahasa yang menyatukan anak bangsa daripada pelbagai keturunan dan asal usul. Bahasa yang menjadi jiwa bangsa kita.

Demikianlah sukarnya menangani masalah pelbagai kaum di negara ini. Maka itu saya amat percaya bahawa peranan karyawan sastera dan seni amat penting dalam soal ini. Dan buku karya Dato’ Goh Hin San ini pasti menyumbang ke arah pemahaman yang lebih besar.


Tan Sri Johan Jaaffar bersama-sama Tan Sri Pheng (Hua Jong), isteri Dato' Goh dan Tan Sri Koh Tsu Koon di majlis pelancaran buku di DBP

Saya secara peribadi mengharapkan lebih banyak karya yang dapat mewakili kepelbagaian itu, yang mencerminkan keunikan dan keanekaragaman kaum, yang memancarkan nilai dan semangat dan sama sekali jujur dan terbuka, tanpa ragu dan tanpa was-was. Kita menggunakan kekuatan karya sastera untuk menyindir dengan wit dan humour, sebagai sebuah keluarga besar yang tidak pernah dibayangi oleh prasangka, keraguan dan bayang-bayang kebencian.

Saya membesar di kampung – Kampung Sungai Balang, Besar, Muar, dengan teman-teman Cina. Selain sama-sama berkubang dan bernakal, kami menunggu datangnya pekji atau potehi ke kampung. Wayang Cina menjadi sebahagian daripada seni budaya setempat ketika itu, seperti juga teman-teman Cina saya menunggu datangnya Bangsawan dan Sendiwara. Rombongan Wayang Cina akan datang pada bulan-bulan tertentu sebagai sebahagian daripada perayaan penting dalam kalendar Cina. Bagi orang kampung, menonton pekji tidak membawa kekangan keagamaan langsung. Mereka menonton sebuah persembahan dengan pakaian dan dekor yang hebat, mewah dan klasik, dalam bahasa yang tidak difahami.

Salah satu persembahan potehi yang pernah diadakan

Saya mengenai Tupai, pemain wayang Cina yang terkenal ketika itu, wayang Cina versi Hokien dan Teochew. Tupai, tiada siapa yang tahu namanya yang sebenar, berusia 40 tahun, dia memainkan watak perempuan selalunya, keistimewaannya membawakan watak Yang Kui Fei, gundik Maharaja Shih Huang Ti, maharaja China yang pertama. Watak wanita yang baik dikatakan qingyi dan yang jahat huadan. Beliau juga boleh menyanyi dan memainkan yangqin (alat bertali Cina) serta erhu (atau fiddle). Saya juga mengenal Ah Lok, yang selalu menjadi wusyeng atau perwira yang memastikan saya menyimpan pedang besinya sewaktu beliau memainkan watak lain.

Bukan mudah memakaikan Tupai pakaian wanita atau memekapkannya. Tugas saya ialah mengipasnya dan upahnya 30 sen. Rakan saya Cheng Hock melakukan hal yang sama apabila Kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera yang dipimpin oleh Bakar M datang ke kampung kami. Beliau juga mengambil upah mengutip tiket atau membelikan rokok bagi para pemain Bangsawan.

Saya juga tahu apabila Wak Ular datang ke kampung dengan anak gadisnya Sidah, yang menarik perhatian Cheng Hock bukan ular sawa besar yang membelit Sidah di mana penonton akan membayar 30 sen tetapi Sidah sendiri, seperti juga saya menaruh hati pada amoi yang membancuh air dalam wayang pekji.

Demikianlah pandangan dunia kami dibentuk oleh seni dan budaya yang melampaui ras dan perbezaan kaum. Saya percaya kegilaan orang Melayu menonton filem Hindustan atau cerita kungfu Cina hari ini dicorakkan oleh nilai universal hiburan, bukan kelainan atau ras. Sama juga dengan kegilaan saya terhadap Wayang Cina atau Chinese Opera pada tahun-tahun 50-an dan 60-an.
Wayang Cina atau Chinese Opera yang popular pada era 50-an dan 60-an

Saya beruntung kerana terdedah pada sastera Tamil sewaktu di Universiti Malaya. Saya mengagumi terjemahan Tirukkural yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Ismail Hussein pada tahun 1967. Tirukkural dipercayai ditulis oleh pujangga Thiruvalluvar di antara abad kedua atau kelima Masehi. Ia mengandungi 133 bab dengan 1,330 couplets atau pancapada dan dianggap sastera Tamil yang amat penting. Saya juga diperkenalkan pada sastera Sangam yang mendedahkan saya pada peranan lanskap (tinai) yang ada kaitannya dengan emosi atau perasaan, yang terbahagi pada kurinji (pergunungan), mullai (hutan), murutham (tanah bendang), neithal (pantai) dan paalai (padang pasir).

Apakah maknanya semua ini bagi kita? Saya percaya, pemahaman antara kaum bermula dengan pengertian pada seni sastera dan budaya. Seni dan sastera tanpa senpadan. Tanpa batas. Tanpa perbezaan politik. Tanpa retorika perkauman. Tanpa grandstanding. Tanpa contestation. Yang ada cuma seni, estetika, nilai bersama, pemahaman, pengertian dan jambatan budaya.

Maka itu saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya pada Dato’ Goh kerana berjaya melahirkan buku ini. Biarpun kecil, tapi bererti. Saya menganggapnya work in progress yang perlu diperluaskan lagi. Malah perlu disambut dengan penyelidikan atau kajian yang lebih mendalam.

Petikan akhbar bahasa Mandarin mengenai pelancaran buku “Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia dan SingapuraTerhadap Bahasa dan Sastera Melayu”


Sekurang-kurangnya buku ini dapat merobek prasangka bahawa kaum Cina atau kaum Tionghua tidak peduli pada sastera setempat – sastera Melayu atau sastera nasional.

Saya mengagumi usaha Dato Goh kerana sudah pasti akan membuka cakrawala minda kita tentang apakah sebenarnya sumbangan kaum Cina baik di Malaysia dan Singapura dalam soal itu. Dan lebih menarik lagi bahawa peranan yang dimainkan oleh Universiti Nanyang yang selama ini dilabelkan sebagai institusi  “cauvinistik” oleh pemerintah Singapura sendiri.

Ternyata, sewaktu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dan bertatih di Bukit Timbalan pada tahun 1956, di Universiti Nanyang sudah ada desakan oleh tiga orang siswazah Cina ketika itu -  Lim Huan Boon, Yang Kui Yee dan Goh Choo Keng untuk mengadakan pelajaran Bahasa Melayu dan sastera Melayu di situ.

Malah bagi mengisi tenaga pengajar dalam bidang bahasa dan sastera Melayu, siswazah universiti itu telah dihantar ke Indonesia, antara mereka  Tan Ta Seng dan Liaw Yock Fang, yang kemudiannya menjadi sarjana yang berwibawa dalam bidang pengajian sastera Melayu.
Saya ingin memetik kenyataan Drs Li Chuan Siu dalam buku Dato’ Goh:

Sumbangan segolongan mahasiswa dan beberapa guru Universiti Nanyang dalam hal membantu mempopularkan dan memajukan pelajaran bahasa dan sastera Melayu kepada masyarakat Cina, baik di Persekutuan mahupun di Singapura, tidak seharusnya dianggap sepi saja. Di samping itu, usaha mereka untuk mengadakan pertukaran antara kesusasteraan Melayu dan Cina melalui Bahasa Melayu pada satu pihak, dan melalui Bahasa Cina pada pihak yang lain, patutlah dianggap sebagai perintis-perintis.”

Dato' Goh bersama koleksi buku-buku penterjemahan beliau

Dalam buku terbitan Pusat Kebudayaan Han Malaysia ini Dato’ Goh menitipkan enam bab buku ini, masing-masing memperagakan sumbangan khusus masyarakat Tionghua dalam menyemarakkan pertumbuhan bahasa dan sastera Melayu.

Bab kedua mengenai usaha terjemahan. Usaha ini rupanya telah berjalan sejak lama, kerana karyawan Cina juga adalah berminat untuk menyelami hati budi sasterawan Melayu demikian juga mereka mahu orang Melayu memahami nilai hidup masyarakat Cina. Salah satu nama yang tertera ialah Chan Kim Boon. Lama sebelum DBP menerbitkan terjemahan San Gua Yan Yi (Romance of the Three Kingdoms), Kim Boon sudah menterjemahkannya pada tahun-tahun 50an.

Tidak banyak orang tahu bahawa kitab Sejarah Melayu (karya Tun Sri Lanang), novel Nyawa Di Hujung Pedang (Murad Nasaruddin), pusi-puisi Khairil Anwar dan banyak lagi telah diterjemahkan ke bahasa Tionghua.

Dalam bab ketiga, Dato’ Goh menggalurkan sumbangan para penyusun kamus daripada kaum Cina. Malah kamus pertama Tionghua -Melayu dipercayai diusahakan oleh Pao Si Kin pada tahun 1952. Seorang penyusun kamus yang prolifik tentunya ialah Lee Yu Kai yang menerbitkan lima buah kamus Tionghua-Melayu di antara tahun 1958 dan 1960. Menurut kajian Dato’ Goh, tidak kurang 28 buah kamus Bahasa Tionghua-Melayu telah diterbikan dalam konteks ini.

Bab keempat menyentuh tentang sumbangan persuratkhabaran Cina dalam menyediakan ruangan Bahasa Melayu atau ruangan sastera terjemahan dari Bahasa Melayu. Peranan yang dimainkan oleh akhbar vernakular Cina ini termasuk Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau tidak boleh dikesampingkan.

Bab kelima pula menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh pada pendidik dan ilmuan Cina dalam pengajaran bahasa dan sastera Melayu. Nama-nama seperti Dr Liaw Yock Fang, Lee  Yu Kai, Tan Eng Teik, Ding Choo Ming, Goh Thyne Chye dan lain-lain jelas tertera.

Kita juga diperingatkan oleh Dato Goh bahawa penulis Cina yang pertama menghasilkan novel Melayu ialah anak kelahiran Muar yang bernama Chong Chee Seong yang menghasilkan Hidup Antara Duri yang berkisar tentang isu keharmonian dan saling hormat-menghormati di antara kaum di negara ini.  Akhbar Goh pula merupakan penulis Cina yang pertama menerbitkan antologi cerpen dalam Bahasa Melayu pada tahun 1976 (Cerpen-Cerpen Pilihan Akhbar Goh).

Dato' Goh di satu majlis yang telah diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur

Dato’ Goh telah menyenaraikan nama-nama dan sumbangan ilmuan, penterjemah, karyawan dan sasterawan Cina dalam membantu merentasi jambatan pemahaman antara kaum di negara ini. Saya harap empat lampiran yang beliau sediakan dalam buku ini akan diteliti bagi memberikan gambaran sebenar sumbangan kaum Cina dalam bahasa dan sastera Melayu.

Saya percaya bahawa buku ini akan menjadi penggerak pada usaha yang lebih mendalam untuk mengkaji sumbangan kaum Cina dalam sastera kebangsaan, juga peranan yang dimainkan oleh pelbagai institusi Cina bagi menyemarakkan sastera Melayu.

Kita jangan lupa juga pada sumbangan kaum Baba dalam konteks ini. Sebuah esei yang penting yang terbit dalam Journal of Educational Media & Library Sciences pada 2 Disember 2004 mengetengahkan sumbangan Cina Selat (Straits Chinese) dalam warisan sastera Malaysia. Esei tulisan S.K. Yoong dan A.N. Zainab itu memberikan tumpuan pada cerita-cerita Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Baba Melayu. Malah usaha itu telah bermula sejak tahun-tahun 1889 lagi oleh antaranya Gong Kiah Sie, Heng Guan Seo Chia dan penulis yang menggunakan nama Kasatu Bjiak Laksana. Mereka juga menterjemahkan Romance of the Three Kingdoms, Sam Kok dan Song Kang, karya-karya yang didasarkan dari Romance of the Three Kingdoms dan juga buku Shi Nai An, Water Margin.

Walaupun terjemahan ini disasarkan pada kaum Baba Selat, tetapi serpihannya dapat dirasakan oleh kaum Cina yang lain dan juga orang Melayu yang membacanya. Menurut kajian itu terdapat tidak kurang 20 buah penerbit yang memberi perhatian pada genre terjemahan sedemikian, khususnya di Singapura dan Pulau Pinang. Saya percaya, Dato’ Goh akan memberikan tumpuan juga pada sumbangan kaum Baba dalam kajiannya yang akan datang.
Saya berharap buku ini tidak hanya menjadi bahan dokumentasi tetapi titik tolak penting untuk menyemarakkan minat dan hasrat kedua-dua kaum untuk saling mengenal satu sama lain melalui sastera dan bahasa.

Sayogia diingat DBP diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, selain sastera lain-lain juga. Saya percaya DBP akan memperkukuh bahagian sastera pelbagai kaum bagi tujuan ini. Saya menghargai usaha DBP terbabit dalam terjemahan karya-karya terbaik dalam bahasa Cina dan karya dari Bahasa Melayu ke bahasa-bahasa lain. Saya ingin mengajak DBP untuk memperbanyakkan wacana ilmu antara kaum bagi merapatkan hubungan sesama kita.

Malah saya juga mengharapkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) mengambil peranan yang lebih proaktif untuk mengeluarkan penerbitan terjemahan dari pelbagai bahasa, khususnya bahasa Mandarin dan Tamil.

Saya juga menggesa agar semua akhbar dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan lain-lain mengadakan juga ruangan berkala untuk nukilan atau sanggar kreatif dan perbincangan mengenai sastera kaum-kaum lain.

Majalah Dewan Sastera terbitan DBP memang menyediakan ruang untuk terjemahan karya dunia. Saya berharap dijadikan ruang tetap terjemahan dari karya cerpen, puisi atau drama pendek dalam bahasa Cina, Tamil dan lain-lain. 

Saya ingin memetik kenyataan Dato’ Goh mengapa beliau menghasilkan buku ini:

Dengan bahan-bahan yang dikumpulkan itu telah membuktikan satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan, ia itu dalam usaha-usaha menyatu-padukan kaum Melayu dengan kaum Tionghua melalui terjemahan bahasa dan ciptaan karya sastera, pengarang Tionghua telah menyumbangkan jasa yang tak terhingga baik dalam bidang penterjemahan, penyusunan kamus, persuratkhabaran, pendidikan, kesusasteraan dan sebagainya.”

Buku kecil ini buktinya. Tak kenal maka tak cinta. Semoga buku ini akan menjadi pemangkin satu usaha yang lebih terancang bagi merapatkan rakyat negara kita yang berbilang kaum. Semoga pemahaman sastera dan bahasa akan merapatkan yang renggang, mencantumkan yang terpisah, mengarusperdanakan yang terpinggir dan menjalin persefahaman sebenar.

Perbincangan tentang pemahaman, perpaduan dan toleransi tidak mungkin lengkap tanpa menyebut nama Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, ikon perpaduan seni dan sastera kita. Tokoh yang sentiasa mengilhamkan seniman dan sasterawan pelbagai kaum untuk berfikir sebagai satu kesatuan, untuk mendakap kelainan dan menghargai perbezaan.

Izinkan saya memetik baris-baris puisi beliau bagi mengingatkan kita tentang makna sebuah negara bangsa:

TANAHAIR
 Engkau Tanah Air
 pemilik perut yang berbudi
 penampung hujan penyedut sinar mentari
 lahirlah anakmu dari semaian petani

 Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik di denyut nafas kami
kerana kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

 Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Puisi itu ditulis pada tahun 1956. Terasa amat relevan hingga ke saat ini.
                                                                                                                                                                                   
                                                                   Sekian, terima kasih.