Monday, September 29, 2014

JAMIL SULONG TRIBUTE

ALLAHYARHAM DATUK JAMIL SULONG  menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Khamis 25 September 2014 pada usia 88 tahun.  (Al Fatehah). 

Banyak orang mengenal beliau hanya sebagai pengarah filem. Beliau juga banyak berjasa pada dunia sastera kerana beliau salah seorang pengasas Angkatan Sasterawan  50 (atau lebih dikenal sebagai Asas 50).

Saya mengenal Jamil sewaktu menyunting bukunya yang pertama, Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah pada penghujung tahun 1980-an. Proses itu mengambil masa dua tahun sehinggalah buku itu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1990.

Beliau telah menghasilkan buku Jamil Sulong: Warisan dan Wawasan pada tahun 2008. Pada Malam “Lagenda Perdana: Tiada Kata Secantik Bahasa” anjuran Persatuan Seniman di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 5 Ogos 2010, saya telah diberikan penghormatan untuk merasmikan buku itu.

Inilah sebahagian teks ucapan saya malam itu (yang disesuaikan seperti yang tersiar dalam Majalah Dewan Budaya, September 2010: 

Besar Jasa Jamil Sulong
Pada Dunia Seni dan Sastera

SAYA  orang yang beruntung kerana kehidupan saya dalam banyak hal – sama ada saya sedari atau tidak, secara langsung dan tidak langsung – ada pertaliannya dengan Datuk jamil Sulong. Saya bernasib baik kerana sewaktu saya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saya telah diberikan amanah untuk menyunting buku beliau. Kami bersama-sama mengerjakan buku itu selama kira-kira dua tahun, hinggalah buku itu terbit pada tahun 1990. Malah, seingat saya, sayalah mencadangkan judul buku itu diberi nama Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah, menggunakan judul filem arahan beliau yang ke-14 di Malay Film Productions (MFP) yang berjudul Kaca Permata yang mana Rosnani (Mak Nani) salah seorang pelakon utamanya.

Selama dua tahun itu saya mengenali Jamil dan Rosnani dengan lebih dekat – saya selalu berulang ke rumah mereka dan mengagumi koleksi buku dan bahan-bahan dokumentasi yang dikumpulkannya. Saya menyedari bahawa Jamil bukan karyawan filem biasa – he is a learned one, a thinking one and a voracious reader -  spesis yang amat kurang rasanya di kalangan karyawan filem. Kecintaannya pada buku dan ilmu cukup luar biasa.

Malah jikalau kita melihat kulit dalam hadapan buku yang diterbitkan oleh DBP ini, jelaslah tertera study room atau mungkin juga bilik perpustakaan beliau. Malah Jamil selalu selesa digambarkan bersama buku-buku seperti yang tertera dalam gambar-gambar di dalam bahagian awal buku ini dan dalam buku-buku beliau sebelum ini.

Saya lebih beruntung kerana apabila saya mula berkhidmat di DBP pada tahun 1977, salah seorang ketua saya ketika itu ialah Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Usman Awang atau Tongkat Warrant. Beliaulah orang yang mencuba nasib di Singapura bersama Jamil pada usia muda. Usman bekerja di Melayu Raya Press sebelum menjadi keluarga syarikat Utusan Melayu di Cecil Road, syarikat akhbar yang kemudiannya menjadi tempat saya bekerja pada tahun 1992 sebagai Ketua Pengarang setelah meninggalkan DBP. Jamil mendapat kerja di MFP, Jalan Ampas kepunyaan Shaw Brothers.

Usman menjadi Timbalan Ketua, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS) pada ketika itu, tempat berhimpunnya sasterawan besar seperti Baha Zain (Baharuddin Zainal), Mohamad Kamal Abdullah (Kemala), Shamsuddin Jaafar, Suhaimi Haji Muhammad, Ismail Ahmad (Ajikik), Che Shamsuddin Othman (Dinsman),  Anwar Rithwan, Wan Omar Ahmad (Sutung Umar RS) dan orang yang menjadi rakan sebilik saya, Abdullah Hussien atau Bung Dollah  (kini Sasterawan Negara).

Bung Dollah pernah membantu pengarah Phani Majumdar bersama-sama Cikgu Buyung Adil sebagai  penasihat cerita dan skrip untuk filem klasik Hang Tuah. Bung Dollah juga pernah menyunting majalah hiburan Gelanggang Filem yang dimilikki oleh P. Ramlee. Beliau juga pernah menjadi suami kepada pelakon terkenal Zaiton yang pertama kali diperkenalkan oleh S. Ramanathan dalam filem Kipas Hikmat pada tahun 1955. Beliau juga  yang pernah berlakon di bawah Jamil dalam filem Lela Manja, Si Tanggang, Gerhana, Budi dan Dosa dan Kaca Permata.  

Bayangkan berada sebilik dengan Bung Dollah – pada masa itu belum ada konsep ofis terbuka, dua orang duduk sebilik secara tertutup. Selama lebih dua tahun, saya sebilik dengan beliau dan diladeni dengan pelbagai cerita beliau mengenai dunia filem yang penuh intrig, drama dan suka duka di Singapura. Siapa tidak terhuja? 
 
Usman Awang pula mempunyai rahsia yang tersendiri. Kenalan baik beliau sewaktu menjadi polis bernama Majid – kebetulan orang kampung saya di Sungai Balang Besar, Muar. Setiap kali saya pulang ke kampung Usman akan berkirim salam dan setiap kali saya pulang ke Kuala Lumpur, Majid pula akan berkirim salam pada Usman. Lama kelamaan tahulah saya bahawa mereka pernah mengejar jelitawan yang sama -  Sri Panggung terkenal Kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera bernama  Rohani B.  Secara kebetulan kumpulan itu pernah berbulan-bulan bermain di kampung saya.

Saya berusia 12 atau 13 tahun ketika itu dan mengenali semua keluarga Bakar M termasuk Rahman B, isterinya Rohaya B, dan adik-adik beliau Rahim B dan Rohani B. Di dalam novel Usman satu-satunya, berjudul Tulang-tulang Berserakan, kisah persahabatan beliau dengan Majid dirakamkan begitu juga gadis bernama Rohani yang mereka idamkan bersama.

Persahabatan Usman dan Jamil, juga membabitkan seorang kawan lain yang sudah berada di Singapura pada masa itu, Jaafar Haji Muhammad atau Jymy Asmara ada kena mengena dengan destini hidup Jamil kemudiannya. Jymylah yang menumpangkan mereka di bilik kecil di Kampung Batak dekat Jalan Eunos. Jymy bekerja dengan majalah Filem Raya pada ketika itu selalu membawa Usman dan  Jamil ke sebuah kedai makan di Geylang Serai, di mana mereka mengenal seorang wanita yang menjadi pelayan di kedai itu. Izinkan saya memetik bagaimana wanita ini digambarkan oleh Jamil di dalam buku ini (halaman 121):

“Dia berkulit hitam manis dan susuk badannya kecil comel dan parasnya boleh tahan. Pendeknya kalau dipandang tidak jemu.”

Itulah Rosnani yang dikahwini oleh Jamil pada bulan November 1953. Suami isteri ini juga mencerminkan sesuatu yang tidak selalunya menjadi norma dalam masyarakat artis di Singapura – hidup rukun bahagia hingga ke akhir hayat dan mempunyai anak-anak yang berjaya dalam pelajaran.

Menurut buku ini Rosnani  telah diuji bakat oleh L. Krishnan dan menjadi pelakon utama disamping P. Ramlee dalam filem arahan S. Ramanathan berjudul Sedarah pada tahun 1952. Pada tahun yang sama beliau berlakon sebagai heroin juga di dalam filem Lupa Daratan di bawah arahan L. Krishnan, Miskin (juga disamping P. Ramlee) yang diarahkan oleh  K.M. Basker dan Cemburu arahan S. Ramanathan. Rosnani seterus berlakon dalam banyak filem-filem terkenal seperti Ibu, Ribut, Anakku Sazali selain filem-filem arahan suaminya seperti Raja Laksamana Bentan, Lubalang Daik dan Kaca Permata. Rosnani mengarah kali pertama pada tahun 1987 dengan Mawar Merah diikuti oleh Antara Dua Hati pada tahun berikutnya.    

Buku ini meraikan  kisah hidup dan kehidupan keluarganya malah lebih dramatik dari filem-filem yang diarahkannya. Ia melakarkan kisah kehidupan keluarganya yang penuh peristiwa dari Sungai Udang dan Paya Rumput di Melaka pada abad ke-19 hinggalah ke kediaman beliau terbaru di Janda Baik, Pahang. Ia bermula dengan kisah Penghulu Mansor yang kemudiannya harus melarikan diri ke Batu Pahat kerana berkasar dengan seorang pegawai Inggeris pada tahun 1884 hinggalah kisah keluarga Jamil di Parit Sulong, Johor. Malah bukan tidak bersebab nama pekan itu  dikaitkan dengan keluarga  Jamil. 

Buku ini menggalurkan juga peristiwa malang yang menimpa keluarga Sulong bin Muhammad @ Mansor di Parit Sulong yang menjadi mangsa pengganas komunis apabila berakhirnya zaman pendudukan Jepun. Mujurlah Jamil tidak ada di rumah waktu itu – beliau dan sahabatnya Samad pergi menonton filem dari Jawa berjudul Harta Berdarah di panggung Thye Kuan Hall di Batu Pahat. Tragedi menyayat yang menimpa keluarganya dirakamkan dalam Bab ke-6 buku itu. Peristiwa itu membawa kesan luar biasa pada Jamil dan keluarganya. Trauma yang dihadapi oleh anggota keluarganya sukar dipulihkan.

Buku ini merakamkan pertemuan beliau dengan banyak personaliti – dari tuan punya studio hinggalah orang politik – juga suka duka yang dihadapi dalam kerja dan kerjayanya. Beliau menceritakan bagaimana beliau diajar naik basikal oleh Ghafar Baba, berdepan dengan karenah Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama dalam pembikinan filem Raja Bersiong dan Sumpahan Mahsuri. Beliau mencatatkan  banyak nama-nama besar dalam dunia filem, dari S. Sudarmaji  hinggalah Jins Shamsuddin juga mereka dalam dunia sastera dari Hamzah Hussien, Muhammad Arif  (Mas)  hinggalah Abdul Wahab Muhammad (Awam il Sarkam).    

Apa yang istimewa mengenai buku ini ialah kesediaannya untuk berterus terang, bercerita tanpa ragu dan risau, kisah hidup beliau dan keluarganya secara bersahaja. Beliau bercerita setiap aspek kehidupannya secara jujur, termasuk catatan mengenai penolakan awal keluarganya terhadap Rosnani. Dan beliau tidak berselindung mengenai siapa Rosnani yang dikahwininya. Anak mereka, Anwardi, yang mengikut jejak ayah dan ibunya menceburi dunia filem dalam bahagian Kata Pengantar buku ini mengakui bagaimana stigma yang pernah beliau sendiri lalui sebagai “anak wayang.” Dalam satu peristiwa, seorang Datuk enggan menerima salam yang diberikannya pada satu hari raya.

Demikianlah stigma dunia wayang dalam masyarakat Melayu – yang ironisnya paling kuat menyokong industri itu pada era gemilangnya dari tahun 1955 hingga 1965 menurut kajian  Dr. Hatta Azad Khan dalam bukunya The Malay Cinema. Bukankah aneh masyarakat yang berbondong-bondong menonton Bangsawan, filem dan menggilai drama TV memandang rendah dan sepi pada pemain atau karyawannya?

Tetapi keadaan telah berubah. Demikian juga sikap orang Melayu terhadap seniman dan artis keseluruhannya. Dunia artis beserta catatan gossip menjadi bacaan wajib di akhbar. Artis menjadi selebriti yang digilai dan ikon baru masyarakat Melayu. Konsep hero juga sudah berubah dari pimpinan politik, agama dan sosial  pada tokoh seni dan hiburan.   

Tentulah sewaktu Jamil pertama kali terbabit dalam filem sebagai penolong pengarah, penterjemah skrip dan pelakon watak kecil dalam filem Jiwa Lara arahan S. Ramanathan pada tahun 1952, industri filem berada dalam era yang berlainan. Memang industri filem tempatan jauh ketinggalan berbanding Hollywood dan Bollywood ketika itu. Tetapi itu tidak bermakna bahawa filem-filem-filem Melayu tidak mendapat tempat di hati rakyat. Malah selain filem-filem arahan pengarah dari India, filem arahan P. Ramlee, Jamil, Omar Rojik, S. Kadarisman (di MFP), Salleh Ghani, Hussein Haniff dan M. Amin (di Cathay-Keris) mencipta nama sebagai filem-filem laris di pasaran, malah selalunya  mengalahkan filem-filem  import dari segi pungutan tiket. Filem Melayu digilai di Indonesia dan Brunei. Malah filem Melayu lebih maju dan popular dari filem-filem Indonesia yang baru mencari tapak pada tahun-tahun 50-an itu.

Dengan kesederhanaan dan modal terbatas, filem-filem keluaran MFP dan Cathay-Keris Film mampu bersaing dengan filem-filem luar.

Pada peringkat awal,  dalam keadaan “primitif” sekalipun, filem Laila Majnun yang dikatakan filem Melayu pertama (terbit tahun1933) telah memberikan warna baru pada industri kreatif Melayu. Dengan itu filem menjadi saingan baru pada kegiatan kesenian yang lain termasuk Bangsawan serta pelbagai bentuk teater tradisional. Hanya dengan kelahiran secara rasmi syarikat-syarikat filem seperti Shaw Brothers dan kemudiannya MFP dan Cathay-Keris Film, barulah filem Melayu secara rasmi mendominasi dunia hiburan popular.

Sewaktu di MFP, Jamil berpeluang menjadi penolong pengarah, penulis cerita, penulis skrip, penulis lakonlayar, penulis lirik, penterjemah skrip dan berlakon untuk pengarah-pengarah dari India seperti S. Ramanathan, K.M. Basker, P. Majumdar, B.S. Rajhans dan B.N. Rao dan L. Krishnan (27 buah filem yang membabitkan mereka  kesemuanya).

Beliau mendapat peluang bekerja untuk pengarah tempatan pertama kali apabila P. Ramlee mengarahkan filem pertamanya Penarik Beca pada tahun 1955, itupun sebagai penulis lirik. Salah sebuah lagu yang liriknya ditulis semula oleh Jamil dari lagu asal P. Ramlee untuk Penarik Beca ialah lagu “Azizah” salah sebuah lagu signature bagi P. Ramlee.

Banyak orang yang terlupa bahawa Jamil seorang sasterawan, maka menulis sajak dan lirik lagu menjadi sesuatu yang natural pada beliau. Banyak orang juga terlupa bahawa lagu-lagu nyanyian P. Ramlee yang dianggap klasik dan evergreen seperti “Tiada Kata Secantik Bahasa”, “Semerah Padi”, “Aduhai Sayang”, “Anakku Sazali”, “Bulan dan Juga Angin”, “Inang Baru”,  “Berkorban Apa Saja”, “Sekapur Sirih Seulas Pinang”, “Dengarlah Gemala Hati”, “Engkau Laksana Bulan”, “Joget Tari Lenggang”, “Manusia Miskin Kaya”, “Mari Dengar Ini Cerita”, “Merak Kayangan”   dan banyak lagi merupakan hasil nukilan Jamil. Beliau juga menulis lirik untuk banyak lagi pengarah lain. Beliau telah menghasilkan buku Tiada Kata Secantik Bahasa yang yang antara lain bertujuan membetulkan banyak kesilapan yang membabitkan penulis lirik  lagu-lagu yang popular pada zaman gemilang filem Melayu.

Jamil diberikan peluang untuk mengarah pertama kali pada tahun 1958 dengan filem Batu Belah Batu Bertangkup yang disesuaikan dari cerita teladan popular dalam khazanah cerita lisan orang Melayu.  Berdasarkan buku kecil yang beliau susun bersama-sama Hamzah Hussein dan Abdul Malik Mokhtar, Daftar Filem Melayu: 1933 – 1993), Batu Belah Batu Bertangkup merupakan filem ke-100 terbitan MFP.

Menurut catatan Jamil di dalam autobiografinya ini beliau mengarahkan 30 buah filem, yang terakhir Raja Melewar, pada tahun 1997. Beliau terbabit dalam filem sewaktu berusia 26 tahun, pertama kali mengarah sewaktu berusia 32 tahun, dan kali terakhir mengarah sewaktu beliau berusia 71 tahun! Ini satu rekod cemerlang bagi mana-mana pengarah filem di dunia. Beliau terbabit dalam pembikinan 68 buah filem kesemuanya dari Singapura ke Malaysia.


Demikianlah dinamisme dan kreativiti Jamil, sasterawan yang menjadi karyawan filem, manusia berbakat yang diberikan banyak kelebihan. Jamil berada di tengah kehebatan dan kegemilangan filem Melayu pada tahun-tahun 50-an dan 60-an dan menyaksikan zaman kemuraman dan kejatuhannya pada dekad-dekad berikutnya. Beliau memberikan kita filem-filem yang akan diingat kerana grandeur, keunikan dan kualiti terpuji, antaranya Batu Belah Batu Bertangkup, Raja Laksamana Bentan, Lela Manja, Si Tanggang, Lubalang Daik, Bidasari, Kaca Permata, Gerak Kilat, Raja Bersiong, Permintaan Terakhir, Jiwa Remaja dan  Ranjau Sepanjang Jalan sekadar menyebut beberapa contoh. Beliau membantu menulis semula makna kecemerlangan dalam industri filem Melayu melalui filem-filem yang ditanganinya.

Melalui filem-filem baru seperti Permintaan Terakhir dan Jiwa Remaja beliau melahirkan generasi baru karyawan filem seperti Yusuf Haslam, Uji Rashid, Hail Amir, Norzie Nani, Fauziah Ahmad Daud dan ramai lagi.      
      
Bukti kemampuannya terlihat daripada lapan anugerah yang diterima oleh beliau dan filem yang membabitkan beliau dalam Pesta Filem Asia Pasifik dan 10 lagi anugerah dalam Pesta Filem Malaysia. 

Saya bukanlah penelaah atau pengkaji filem yang akan menilai sumbangan Jamil dalam konteks dunia perfileman Melayu. Saya menganggap diri saya pencinta filem. Saya beruntung kerana pernah terbabit dalam pengendalian majalah Dewan Budaya terbitan DBP yang sejak pertama kali terbit pada tahun 1981 menjadi wahana penting gelanggang seni dan budaya.




Seperti juga Jamil yang mengenal dunia filem di Panggung Radin, Parit Sulong, minat saya terhadap filem terbentuk sewaktu saya menonton filem di Panggung Wak Kandar, Semerah. Oleh kerana kawan sedarjah saya, Jumadi anak tauke panggung, maka saya selalu dapat masuk percuma. Tetapi saya juga mengambil upah menggulung filem untuk Bang Ali, projectionist yang selalunya malas berbuat demikian.

Bagi saya buku ini merupakan lanjutan kepada  Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah yang terbit lebih 20 tahun lalu oleh penerbit yang sama. Bagaimanapun buku itu lebih merupakan rakaman pengalaman Jamil dalam dunia filem, dan mengandungi begitu banyak gambar-gambar yang sangat berharga. Saya pula menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sewaktu buku  ini dirancang. Malah saya menggunakan sedikit sebanyak kuasa pada saya untuk memastikan buku ini terbit pada masanya, dan mencapai mutu penerbitan yang dikehendakki oleh penulis.

Beliau mengakhirkan buku Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah antara lain dengan catatan nasihat ini untuk karyawan filem;

“Perubahan zaman memerlukan kita mengikut dan menyesuaikan sesuatu dengan keadaan semasa. Peganglah ini sebagai satu gagasan, bahawa filem Melayu dan filem Malaysia mesti terus hidup demi kepentingannya sebagai pencermin sesuatu kejadian, sesuatu idea, sesuatu kehidupan, demi bukan sahaja satu wadah hiburan, tetapi sifatnya sebagai bahan dokumentasi dan perakam budaya serta peristiwa sesuatu bangsa dalam sesebuah negara.”            

Alangkah tepatnya pemerhatian itu. Karya seni ialah cerminan bangsa. Ia manifestasi keupayaan minda dan kreativiti sebuah tamadun. Filem merupakan hiburan massa yang pengaruhnya demikian besar dan implikasi mindanya cukup ketara. Filem boleh mengubah nilai, mencorakkan pemikiran dan menerajui pemikiran. Filem digunakan untuk menaikkan semangat, untuk tujuan propaganda ataupun menyemarakkan cauvinisme. Filem juga seperti juga hiburan massa yang yang lain merupakan wadah paling berkesan bagi membangkitkan semangat nasionalisme dan kecintaan pada bangsa dan negara.

Saya percaya Jamil telah menunjukkan jalannya menuju kecemerlangan baru. Laluan Jamil jauh lebih sukar dari banyak karyawan semasa. Jamil tidak ke sekolah filem. Jamil berbekalkan ketabahan dan keyakinan serta ketekunan dan kerja kuatnya. Jamil mencinta dunia yang diceburinya pada waktu yang sama mempertahankan dignitinya sebagai sasterawan. Beliau merupakan orang filem yang diwarnai oleh kecintaannya pada sastera. Maka itu kreativiti Jamil melangkaui banyak teman-teman sezaman dengannya.

Apa yang lebih penting ialah Jamil merupakan satu-satu pengarah daripada era gemilang filem Melayu di Singapura.  Beliau merupakan the last of the Mohicans dalam konteks pengarah dan karyawan filem yang seangkatan atau sezaman dengannya. Beliau telah menunjukkan bagaimana filem bukan sahaja menghiburkan tetapi berperanan memartabatkan bangsa dan memberi maruah pada budaya bangsa.

Sayogia diingat bahawa Jamil juga salah seorang pengasas Angkatan Sastarawan 50 atau Asas 50 yang berpegang pada prinsip bahawa seni tanpa matlamat tidak ada tempatnya dalam neraca budaya bangsa. Perjuangan Asas 50 ialah “Seni Untuk Masyarakat”.  Prinsip itu diterjemahkannya dalam konteks filem tanpa matlamat atau misi tidak lebih penghasilan kuil seni yang tidak punya halatuju  dan sasaran.

Oleh sebab itulah saya percaya, di sebaliknya periwayatan kisah kehidupan dan pembabitan dunia seninya, Jamil memilih tajuk sampingan “Warisan dan Wawasan” untuk buku ini. Sudah pastilah pemilihan dua kata yang amat kuat atau bermakna itu ada pengertian dan kaitannnya dengan falsafah berkarya Jamil.




Bagi saya, buku ini merupakan sebahagian rakaman periwayatan atau naratif besar sebuah bangsa  – bangsa yang pernah mencurigai kesenimanan anak bangsanya, bangsa yang kemudiannya membina diri untuk menjadi pemain di tengah asakan globalisasi dan bangsa yang akhirnya menyedari bahawa dunia seni punya tempat yang istimewa dalam sejarah ketamadunannya.

Jamil ialah sebahagian dari ikon kegemilangan dan kecemerlangan seni itu. Jamil mengabdikan dirinya dalam dunia seni selama hampir enam dekad. Beliau menyaksikan dinamisme yang berubah pada bangsa dan negaranya. Beliau melihat cabaran baru yang harus ditangani oleh seniman semasa.

Buku ini merupakan autobiografi seorang karyawan yang berjasa besar.  Buku ini seharusnya  merupakan tinggalan berharga untuk anak bangsa kita, selain semua mereka yang bergelar seniman.

Izinkan saya memetik “Seloka Penutup Kata” yang dirakamkan dalam buku Tiada Kata Seindah Bahasa.

“Kalau permata ada sinarnya
Kalau wangi ada harumnya
Kalau emas nampak kuningnya…”

Begitulah tanda seniman dengan bakatnya
Tiap bidang ada keistimewaannya

Demikianlah pendirian Jamil tentang dunia yang diceburi.

Itulah Jamil yang sebenarnya.


-         JOHAN JAAFFAR