Monday, September 24, 2018

“Mencari Khalid Dalam Khalid”


Pengenalan Buku Khalid Salleh: Di Mata Kami terbitan ITBM
Buku ini telah dilancarkan pada 23 September 2018 di Wisma ITBM oleh Israr Khalid, anak sulung Khalid Salleh







Oleh JOHAN JAAFFAR


Seperti pengarah filem tersohor, U-Wei Haji Shaari, saya juga sering ditanyakan, “Wak Khalid itu siapa bagi saya?” Dan seperti U-Wei juga, jawaban saya lebih kurang, “usah tanya saya siapa Khalid pada saya.” Khalid adalah Khalid. Dan sehingga perginya beliau ke alam baka, saya yang mengenalinya selama lebih empat dekad, masih menanyakan soalan yang ditanyakan oleh U-Wei.  Saya sebenarnya masih mencari Khalid. 

Benarlah kata dramatis absurd Samuel Beckett, “the danger is always in the neatness of identification”. Mungkin Beckett merujuk pada dirinya sendiri yang sentiasa dianggap kompleks malah enigmatik. Mungkin juga karyawan besar begitu sifatnya, sukar ditafsir, diduga apa lagi diidentifikasi dengan mudah. Mungkin juga Khalid Salleh lebih sesuai dengan frasa itu, oleh sebab itu, rumusan terbaik tentang Khalid diberikan oleh Sabri Yunus dalam koleksi ini, “Wak memang Wak lah!”

Saya mula mengenalnya sebagai “Raden Khalid” si penjual ubat luar biasa di Benteng, Kuala Lumpur. Sejak belajar di Universiti Malaya (UM) bermula pada tahun 1974, saya sudah mendekati Kumpulan Anak Alam. Dan dua sahabat karib saya yang selalu bersama-sama saya berlegar-legar di KL adalah Muhammad Abdullah (Allahyarham) dan Omar Abdullah.

Kami sering ke Benteng bersama-sama teman-teman Anak Alam yang lain, untuk melihat “persembahan” seorang penjual ubat bernama Raden Khalid. Saya tidak pasti dari mana datangnya “Raden” pada nama itu. Seingat saya ayahnya, yang juga penjual ubat, juga menggunakan nama “Raden” – Raden Salleh. Mungkin juga itu “nama komersil” yang digunakan sebagai penjual ubat.

Malah apabila beliau berlakon dalam drama “Bukan Bunuh Diri” karya Dinsman yang diarahkan oleh Krishen Jit, dalam ulasan saya yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Ogos 1977 (“Bukan Bunuh Diri: Satu Penafsiran Lain”), saya masih menggunakan nama Raden Khalid.

Ada sesuatu yang menarik perhatian saya pada Khalid di Benteng. Jual ubat bukan kerja calang-calang orang. Persaingannya sengit. Di satu tempat pada satu-satu masa, mungkin terdapat beberapa orang penjual ubat. Masing-masing bersaing untuk mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang. Maka itu masing-masing menggunakan pelbagai gimik untuk menarik perhatian.

Khalid seperti yang diceritakan oleh Yusoff Osman dalam koleksi ini (“Khalid Salleh Penjual Ubat Sastera”) menggunakan kaedah yang tersendiri. Bagi saya pula, bukan gimik beliau yang menarik perhatian tetapi cara beliau berjual. Sesungguhnya amat teatrikal. Oleh sebab saya orang teater, maka saya lebih terpukau pada “persembahan” Khalid – gaya, gerak, ekspresi, lontaran suara dan intensitinya.

Seingat saya mendiang Krishen Jit pernah bertanya saya tentang penjual ubat di Benteng pada tahun 1975. Ketika itu saya sudah mula dikenal apabila mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” sewaktu Malam Berbunga Sajak di UM. Saya memberitahu Krishen memang saya salah seorang peminat penjual ubat itu.

Mungkin banyak orang lain yang memberitahu Krishen tentang Khalid. Maka itu tidak hairanlah Krishen mengambil Khalid berlakon dalam drama “Bukan Bunuh Diri” pada tahun 1977. Dan saya salah seorang penonton malam itu. Saya juga menulis ulasannya. Malam itu juga saya percaya bintang baharu telah muncul di pentas teater.  Khalid membawa watak Adam dengan keyakinan, kematangan dan keunikan.

Antara lain saya menulis.

“Watak Adam didukung oleh Raden Khalid, seorang pendatang  baru yang berpotensi besar dalam bidang teater. Ternyata Krishen Jit begitu mengambil berat setiap gerak dan dialog pelakon ini. Itu satu keistimewaan  Krishen yang tersendiri. Tiap gerak dan laku dalam penghasilan teater ada kepentingannya yang tersendiri bagi Krishen. Bukan mudah mahu menjadikan Raden Khalid sebagai Adam yang dikehendakki oleh Krishen.”

Selebihnya adalah tafsiran Khalid tentang watak Adam. Saya malah membandingkan tafsiran yang dibuat oleh Khalid “lebih meyakinkan” daripada yang dilakukan oleh penulisnya sendiri. Saya mungkin tidak berlaku adil pada Dinsman, tapi saya percaya, Khalid telah memberikan dinamisme luar biasa pada Adam, lantas memperhebat dan mendalami kekuatan watak yang amat istimewa itu.

Saya melihat transformasi seorang penjual ubat menjadi pelakon teater di hadapan saya. Saya melihat lapisan lain pada Khalid.

Demikianlah saya mengenal Khalid dari gelanggang jual ubat pada mulanya hingga dia diperkenalkan di pentas teater. Saya sudah lama bersama Kumpulan  Anak Alam sewaktu Khalid mula berjinak-jinak dengan kumpulan itu. Malah apabila beliau mulai menetap di Studio Anak Alam pada tahun 1977, saya sudah tidak lagi tinggal di Anak Alam. Namun saya sering ke sana. Khalid mengambil tempat Mustapha Haji Ibrahim (Bang Tapa) yang berpindah dari Rumah JKR No 905 itu. Khalidlah yang menjadi ketua tidak rasmi di rumah itu. 

Studio Anak Alam punya cerita yang tersendiri. Banyak kawan-kawan dalam kumpulan ini punya kisah peribadi bersama Khalid di situ. Pyanhabib melalui tulisannya dalam koleksi ini, (“Kereta Langgar Di Udara”) punya banyak peristiwa intim bersama Khalid. Malah menurut cerita Pyanhbib, beliaulah yang “memperkenalkan” Anak Alam pada Khalid. Pyanhabib bukan sahaja mengikut Khalid berjual ubat tetapi turut membantu  “menguli majun yang siap diramu” untuk jualan. Pada masa saya mula mengenal Khalid majun buatan bapanya itu dikenal sebagai “Majun Pak Tani.” Tetapi Khalid menukar namanya pada “Majun Sirna Bayu.”

Teman-teman secara bergurau mengatakan bahawa Khalid menukar nama itu dek terhuja dengan kejelitaan pelakon kumpulan Teater Keliling dari Jakarta yang bernama “Deri Sirna.” Kebetulan kumpulan yang dipimpin oleh Rudolph Puspa itu berkeliling di KL membawa “Kapai-Kapai”. Di antara pelakon yang ikut serta adalah Buyung Zasdar, Ucok Hashim, Mayawati Direja, Johan Kalayan dan Yayang C Noor. Salah seorang pelakon Teater Keliling itu, Buyung Zasdar menetap terus di KL dan terbabit dengan beberapa buah pementasan teater saya sendiri, antaranya “Angin Kering” dan “Sang Puteri”. Beliau juga pernah tinggal di Anak Alam.

Sudah tentu cerita pertukaran nama majun disebabkan oleh Deri Sirna itu tidak betul. Tetapi “Majun Sirna Bayu” ternyata bunyinya lebih komersil daripada “Majun Pak Tani” walaupun produknya sama! Meminjam istilah sekarang, itu namanya “branding.”

Khalid dan saya banyak menghabiskan masa bersama-sama teman-teman lain di Benteng. Dan kami juga terlibat dalam banyak aktiviti di Anak Alam. Walaupun Khalid tidak pernah berlakon di bawah arahan saya dan saya juga tidak pernah diajak berlakon di bawah arahannya, tetapi kami saling hormat menghormati.

Pada tahun 1979 saya mula menulis drama TV menggunakan nama “Jaafar Khan”. Nama samara itu diberikan oleh Atondra (Datuk Ahmad Nordin Abdul Rahman). Beliau ketika itu menjadi penyunting drama TV di RTM. Saya mencuba menulis drama TV berjudul “Menapak Di Paya”. Beliau menyukai skrip  itu dan mencadangkan agar Rosli Jalil menerbitkannya. Seperti yang saya ceritakan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad (Bab 64), saya mahu menggunakan nama samaran “Hantu Semerah.” Tetapi Atondra tidak bersetuju dengan nama yang hodoh untuk seorang penulis skrip RTM. Saya tidak mahu menggunakan nama saya sendiri oleh sebab “Johan Jaaffar” itu lebih dikenal sebagai dramatis pentas, saya mahu gunakan nama lain untuk TV. “Saya bagi awak nama Jaafar Khan, boleh?” cadang beliau. Saya bersetuju.

Selepas “Menapak Di Paya” yang dilakonkan oleh Rubiah Suparman, saya menulis “Anak Tiong Si Noni Sayang” terbitan Hasiah Ariffin. Selepas itu kesemua drama TV saya diterbitkan oleh Abdullah Zainol (Allahyarham), bermula dengan “Asy Syura.” Di antara drama TV karya saya yang diterbitkan oleh Abdullah adalah “Angin Bila Menderu” “Pak Tua” “Pendekar Raibah”, “Anjung Batu” dan “Pelari”. “Pelari” ditulis khusus untuk Khalid.

Saya, Khalid dan Abdullah selalu minum di belakang bangunan lama ibu pejabat  UMNO di  Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Pada satu malam Abdullah sedang membelok masuk ke ruang letak kereta yang kosong apabila sebuah kereta memintas masuk hingga hampir melanggar kereta Abdullah. Saya tahu Abdullah dan Khalid ada kalanya panas baran. Mereka meluru keluar dan berdiri tercegat menghadapi empat orang pemuda sasa dalam kereta yang satu lagi. Saya juga menumpang keberanian mereka berdua. Mungkin mereka tidak mahu mencari gaduh atau takutkan kami bertiga, kesemuanya masuk semula ke kereta dan keluar dari situ.

Malam itulah idea untuk sebuah drama TV tentang seorang manusia tabah dibincangkan dengan hangat. Masing-masing punya idea sendiri untuk drama itu. Akhirnya mereka bersetuju dengan saya bahawa saya akan menulis drama TV tentang seorang lelaki yang menggunakan lariannya sebagai manifestasi perasaannya.

Watak utama itu akan akan mencari makna daripada kegilaannya berlari – baik di sepanjang lebuh raya, di taman, di mana sahaja. Saya sendiri gila berlari ketika itu.  Ada kalanya saya  berlari dari pejabat saya di DBP hingga ke rumah di PJ. Apa sahaja alasan untuk saya berlari. Maka menggunakan pengalaman saya menjadi “road runner” terhasillah drama “Pelari”. Watak itu bukan sekadar “jogger” tetapi “runner” – pelari yang sebenar! (Malang sekali saya tidak menyimpan naskhah asal skrip itu dan RTM tidak pula menyimpan salinan tapenya).

Ada sesuatu yang menarik tentang drama ini. Ia disiarkan oleh RTM pada bulan Januari 1981. Pada bulan Februari tahun itu, Khalid mengarahkan drama “Si Kebayan” karya Utuy Tatang Sontani menggunakan label Kumpulan Anak Alam. Ini merupakan drama arahan pertama Khalid.

Krishen Jit menulis ulasannya mengenai drama ini dalam Dewan Budaya bulan Mac 1981. Dalam ulasan itu beliau mengaitkan “Si Kebayan” dengan “Pelari.” “Si Kebayan” dilakonkan juga oleh Omar Abdullah dan Buyung Zasdar. Agak menarik “bacaan”  Krishen tentang “Si Kebayan.” Beliau melihat “Khalid yang lain” dalam drama itu. Menurut Krishen, Khalid telah “membawa dirinya sendiri” dalam “Si Kebayan”. Di antara Khalid Si Penjual Ubat dan Khalid Si Kebayan hampir menjadi satu dan serupa. Malah Khalid sendiri menjadi tema drama itu dan “pendekatan Khalid tidak dapat dipisahkan dari keperibadiannya sebagai seorang penganut teater kontemporari dan lebih tegas lagi, kehidupannya sebagai seorang penjual ubat.”

Secara kebetulan tulis beliau lagi, “Pelari” baru ditayangkan di TV. Dan bagi Krishen, “drama itu menceritakan kehidupan Khalid sendiri” walaupn sebahagiannya fiksi. Agak menarik, drama yang saya tulis sebagai manifestasi keresahan saya sendiri  pada usia penghujung 20-an, juga memancarkan keperibadian pelakon bernama Khalid yang juga dalam proses mencari diri.

Khalid menjadi Adam dalam drama Dinsman dan menjadi Pelari dalam drama TV saya. Dinsman menulis tentang pencariannya sendiri dalam “Bukan Bunuh Diri” seperti saya juga untuk drama “Pelari”. Alangkah ironisnya apabila kedua-duanya dianggap wahana penting memperagakan kekuatan Khalid sebagai pelakon – satu di pentas, satu lagi di TV.  

Oleh Krishen dirumuskannya, “Dengan munculnya Khalid sebagai penjual ubat di atas pentas dan TV, kita masuk kepada satu lingkungan baru dalam teater kontemporari tempatan.”   
  
Pada satu malam pada tahun 1979, sewaktu saya berkunjung ke Anak Alam, saya sedang berbual dengan Khalid apabila kami mendapat khabar seorang teman yang dikenal sebagai “Uncle” mengalami  musibah yang tragik. Saya dan Khalid bergegas ke studio seni di mana peristiwa itu berlaku. Saya baru sahaja membeli sebuah kereta jenama “Toyota Hard Top” dua pintu. Saya masih belum biasa memandu. Mujurlah kenderaan tidak banyak di jalan seperti  sekarang. Rasa terperanjat melihat keadaan si penggesek biola kesukaan kami yang meninggal dunia itu menghilangkan sedikit rasa kegetaran  saya sewaktu memandu kereta yang baru dua hari di tangan saya.   

Terlalu banyak kisah suka duka saya bersama Khalid. Dan terlalu banyak juga rahsia tersimpan di antara kami. Tidak banyak orang yang tahu rahsia sebenar kehidupan awalnya, juga perkahwinannya yang pertama. Tidak banyak yang tahu tentang keupayaannya mengubat penyakit misteri dan “mengalihkan awan”. Tetapi itu kisah yang lain. Bagi saya Khalid banyak memendamkan perasaannya. Mungkin semua itu diluahkannya melalui karya-karyanya baik puisi atau drama.

Khalid tidak politikal dalam erti kata beliau tidak menyertai gerakan politik secara terang-terangan. Itu bukan bermakna dia tidak prihatin pada apa yang berlaku di sekelilingnya. Tetapi beliau memilih untuk menyatakan pendirian politiknya melalui eseinya, antaranya yang terkandung  koleksi Melayu Hilang Di Dunia yang terbit pada tahun 2011. Isu Melayu dan Islam sentiasa dekat pada hatinya. Khalid yang kaya dengan sindiran menulis juga puisi yang jelas nada politiknya – sebahagiannya terkandung dalam antologi  Kalau Aku Jadi PM (2014).

Ironinya “PM” yang disimpulkan sebagai abreviasi itu adalah “Pemikir Masa”. Antara lain tulis beliau:

“Kalau aku jadi PM
Tak akan siapapun mempedulikan aku
Kerana aku adalah Si Pemikir Masa yang selamanya
Menyukat dan membaca tanda-tanda di segenap pintu kehadiran yang bertandang menitipkan salam
Tentang erti kehidupan dan kematian
Di sempadan makna ada dan tiada…”

Ada kalanya dia mengadu tentang kekecewaannya untuk berkarya. “Aku nak buat teater, nak sumbang pada seni, itupun susah.” Dia akan merungut, setakat merungut. Dia mengatur misalnya program “Monolog Jual Ubat” ke Indonesia dan  Singapura. Beberapa orang kawan termasuk saya sendiri serta persatuan dan institusi  seperti PENA dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) akan membantu setakat terdaya. Sambutan terhadap persembahannya selalunya sangat memberangsangkan.

Dia tidak faham mengapa begitu sukar mendapatkan pembiayaan sedangkan dia bukan tidak punya rekod kejayaan dalam teater dan filem. Dia pelakon terkenal, pengarah yang dihormati dan syifu kepada banyak penuntut seni. Malah dalam filem dia pernah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Pesta Filem Asia Pasifik 1998 kerana lakonannya dalam filem Jogho, arahan U-Wei. Sayogia iingat anugerah itu pernah dimenangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk filem Anakku Sazali pada tahun 1957, 41 tahun sebelum itu.

Saya sering mengingatkan Khalid kesulitan yang aktivis teater pernah lalui pada tahun-tahun 70-an dan 80-an. Dalam salah sebuah tulisan Dinsman untuk Dewan Budaya, November 1983, beliau menceritakan bagaimana seorang pegawai Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) ketika itu berasa pelik mengapa “orang teater marah-marah.”

Jawaban Dinsman saya anggap klasik, “Kalau tidak menggunakan pendekatan marah-marah begitu belum tentu kita dapat pecahkan tembok penghalang komunikasi kita, belum tentu kita dapat menembusi dinding nilai institusi KKBS yang menjadi tembok penghalang kerjasama antara KKBS dengan orang-orang teater selama ini.”

“Kemarahan” itu membuahkan gerakan “Teater Generasi Ketiga” yang membabitkan saya dan aktivis ketika itu antaranya Dinsman, Hatta Azad Khan, Zakaria Ariffin, Sutung Umar RS, Latiff Arif, M. Hanafiah A. Samad, Kamaruzzaman Ibrahim dan lain-lain.

Kemarahan orang teater tidak berakhir rupanya.  Pada tahun 2017/18 Khalid masih perlu marah-marah akibat kesukaran untuk memaju dan mengembangkan teater. Bukan Khalid sahaja yang kecewa, Seniman Negara Rahman B yang berharap akan mementaskan Bangsawan terakhirnya juga sehingga rencana ini ditulis, masih menunggu pembiayaan.

Saya dapat memahami antara lain punca kekecewaan Khalid. Penelaah, pengarah dan pelakon teater Zakaria Ariffin yang juga pernah menjadi pensyarah di ASWARA menyumbangkan tulisan yang amat menarik di sini, “Khalid Salleh: Seniman Alam Yang Rencam.” Menurut Zakaria apabila beliau memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-42, “kemenangannya itu seolah-olah dipandang sepi oleh pihak yang berkenaan.”

Zakaria yang mengikuti perkembangan Khalid sebagai penjual ubat dan kemudiannya menulis drama TV untuk Khalid memberikan banyak insight baharu tentang tokoh ini.    

Tetapi Khalid tetap Khalid. Khalid tidak putus asa. Dalam menghadapi kesakitannya, dia masih mahu berteater. Maka dia menulis dan mengarahkan “Kena Main” yang dipentaskannya di Istana Budaya pada bulan Mac 2015. Itu merupakan produksi besar yang terakhir untuknya.  Sejak pertama kali diperkenalkan oleh Krishen Jit pada tahun 1977, beliau telah memperkaya teater Malaysia. Sudah 38 tahun berlalu sejak pertama kali beliau membawakan watak Adam dalam “Bukan Bunuh Diri” hingga arahan beliau yang terakhir, “Kena Main.”

Salah sebuah tulisan yang sangat mengharukan dalam koleksi ini ditulis oleh Ibu Ken Zuraida, balu dramatis dan penyair terbilang Indonesia, W.S. Rendra. Rupanya Ken dan Khalid sepakat berhasrat untuk mengetengahkan repertoire “Kelambu Maya”. Mereka banyak bercakap tentangnya setiap kali bertemu.  Malah di dalam rencana berjudul “Kelambu Maya Kita, Bang Khalid”,  Ken menulis “Sungguh repertoir ini telah menjadi hantu dalam kepala saya dan kepala Khalid juga. Ketika saya utarakan padanya, ia tertawa berderai-derai. Ia bilang hantunya makin hari makin membesar.”

Ken mengenali Khalid sejak lama tetapi hanya dua tahun kebelakangan ini menjadi rapat semula. Saya teringat Ken pernah hadir dalam majlis perkahwinan anak perempuan Khalid beberapa tahun yang lalu di perkarangan Rumah Pena.

Janji Ken, “Soal Kelambu Maya kita, takan begitu saja pergi daripada kepalaku. Aku akan terus upayakan agar ia bisa terlaksana. Jika teksmu itu ada jodohnya dengan orang yang tepat ia akan kuhadirkan untuk publik serumpun kita. Untuk itu ku mohon izinmu, Bang Khalid.”

Dalam filem,  beliau pernah terbabit dengan beberapa buah filem yang boleh dilupakan sehinggalah U-Wei mengetengahkannya dalam Kaki Bakar sekembalinya dari berkelana di New York selama lebih  10 tahun. Selepas itu U-Wei membawanya memainkan watak utama dalam filem Jogho yang didasarkan dari novel S. Othman Kelantan, Juara. Dan seterusnya Buai Laju-Laju.

Maka wajarlah U-Wei berasa terhuja dengan Khalid. Khalid tidak berlakon. Khalid memainkan watak itu secara semula jadi. Cuma dia tekun, khusuk dan tidak mahu diganggu apabila menghayati watak yang dibawakannya. Sebagai pelakon, saya melihatnya masih Raden Khalid yang saya kenal di Benteng – dia sedang berjual ubat, bersahaja, tapi penuh tumpuan lagi intens. Hal ini juga diakui oleh Krishen Jit. Khalid membawakan nuansa baru pada filem, dengan  meminggirkan glamour dan lakonan tradisional.

Saya melihat kemuncak keupayaan lakonan Khalid dalam Hanyut arahan U-Wei. Ini filem luar biasa yang disesuaikan dengan penuh hati-hati dan cerdik oleh U-Wei dari novel Almayer’s Folly oleh novelis Jospeh Conrad. Saya pengagum Conrad sekalipun saya tidak menyenangi pemaparan stereotaip Conrad tentang orang Timur atau “orang lain yang bukan Barat” (“the Others).  Tetapi saya menghargai Almayer’s Folly seperti juga saya menggilai The Heart of Darkness dan Lord Jim dua novel  beliau yang lain.

Maka itu saya berasa cemas apabila U-Wei menyatakan hasratnya untuk membuat adaptasi novel kesukaan saya ke layar perak. Banyak kali saya menulis tentang hasrat U-Wei di dalam kolom saya di New Straits Times. Kewaspadaan saya juga dikesan oleh U-Wei. Tetapi U-Wei tidak menghampakan saya. Saya pernah menonton adaptasi yang dibuat oleh Chantal Akerman pada tahun 2010 dari novel yang sama. Saya berasa sedikit kecewa kerana “kesetiaannya” pada novel itu menggangu keaslian filem itu.

U-Wei memilih jalan lain. Setia yang derhaka. Dalam derhaka terhadap kesetiaan itulah, Hanyut menjadi lebih istimewa. Saya kagumi arahannya, reka setnya, lebih-lebih lagi aspek lakonannya. Saya akan menyentuh hanya dua nama – Sofia Jane yang memberikan digniti pada makna “kegilaan” dalam lakonan filem dan Khalid yang menjadikan watak Orang Kaya Tinggi bagaikan Si Kitul baru pada era pendudukan Barat.     

Watak yang dibawakan oleh Khalid mengingatkan saya pada Grima Wormtongue dalam filem The Lord of the Rings dari novel JR Tolkien yang diadabtasi oleh Peter Jackson. Seperti Orang Kaya Tinggi yang menjadi penasihat pada orang besar setempat, Grima Wormtongue adalah penasihat kepada Raja Theoden dari Rohan. Mereka sama-sama-sama licik lagi menjijikan. Dalam tulisan saya dalam Star Online (“Tribute to Khalid Salleh, the medicine seller who redefined acting), saya menulis, “it was his character, Orang Kaya Tinggi, that propelled him to a new high in his acting career.’

Mungkin benar kata Ku Seman Ku Hussain dalam “Khalid Salleh Pemikir Jalanan” bahawa U-Wei benar-benar dapat menghargai bakat alam Khalid. Beliau bukan sahaja melonjakkan nama Khalid di filem tetapi juga membawanya ke pentas dalam drama “Wangi Jadi Saksi.”
Ku Seman merumuskan, “Sebagai Kakang dalam Kaki Bakar atau Mamat dalam Jogho, Khalid memberikan suatu yang sangat luar biasa kepada U-Wei Hj Shaari. Pemilihan Khalid untuk kedua-dua filem ini dan teater Wangi Jadi Saksi adalah kecemerlangan U-Wei Haji Shaari membaca  dan menyusun Khalid.”

Tulis Ku Seman lagi, “Aktor hebat hanya untuk pengarah yang hebat.”

Khalid pergi meninggalkan kita pada 23 Julai 2018.

Koleksi ini merupakan rakaman penghormatan teman-teman beliau yang sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Saya berbangga dapat menyumbang dalam koleksi yang amat bermakna ini. Dan saya lebih berbangga kerana banyak teman-temannya di sini mengambil masa merakamkan penghargaan mereka pada Allahyarham Khalid.

Saya tidak mengenal secara dekat kesemua yang menulis di sini, tetapi saya dapat merasakan kesan tulisan mereka yang datang dari lubuk hati. Ada nada kesedihan di dalam tulisan ini – tetapi berisi banyak insight yang bermakna untuk mengenal siapa sebenarnya Khalid, up, close and personal, dengan izin. Tulisan  di sini penuh keanekaragaman. Pemuzik dan penyanyi jalanan Sani Sudin menyumbang pemerhatian yang cerdik dan serius dalam “Monolopong Di Dalam Dalam Wak Khalid”.  Komposer dan penyanyi terkenal Datuk M Nasir menulis kesan ringkas tentang Allahyarham  dalam “Khalid Salleh: Rohaninya Yang Indah”.

Novelis, cerpenis dan penerbit TV Zainal Rashid Ahmad menulis tentang “Khalid Salleh: Perginya Seniman Penjual Ubat” dengan penuh hemah. Dr Mohammad Puat Bebit seorang “pelajar” yang tekun melihat Khalid sebagai idola dan gurunya. Pengalaman itu dirakamkan dengan cermat dalam “Mainan Wak, Bukan Main-Main, Bukan Lawak”.

Tiga orang penulis lain yang turut menyumbang tulisannya dalam kumpulan ini adalah Saidin Omar, Azalan Hussain dan Anuar Manshor. Anuar Manshor seorang editor menceritakan secara lucu bagaimana dia dan Allahyarham Rahimidin Zahari berjaya memujuk Khalid untuk menukar judul buku dari “Benda Sulit”  pada “Pandirnya Pandir” (“Benda Sulit Khalid Salleh”). Azalan Hussain membawakan anekdot lain yang mengesankan bersama Khalid dalam “Tiada Lagi Tembangmu”. Saidin Omar dengan penuh hormat merakamkan hubungannya dengan Khalid melalui “Pelangi Wak.”

Melalui tulisan 37 orang penyumbang untu koleksi ini (maaf, tidak semua dapat saya sentuh dalam ruang yang terbatas ini) kita cuba membuka lapisan demi lapisan manusia bernama Khalid. Kita bagaikan watak Peer dalam drama Henrik Ibsen berjudul “Peer Gynt” yang cuba mencari dan mengenal kompleksiti manusia bernama Khalid. Peer membuka selapis demi selapis lapisan bawang.

Seperti Peer kita tidak sepenuhnya berjaya.  Khalid masih perlu dicari dengan studi yang lebih mendalam. Khalid yang kita lihat dalam tulisan, di pentas teater, di TV dan di filem hanya manifestasi lapisan-lapisan kreativiti yang masih perlu dihuraikan.

“Jangan tanya saya kenapa dia. Juga tak perlu. Saya akan buntu memikirkannya.”

 Demikian rumusan U-Wei.

“Begitulah Wak!” Rumus Sabri.

Saya bersetuju dengan mereka. Dan saya berasa amat kehilangan.

Selamat jalan Pemikir Masa!
Al Fatihah untuk Khalid!
-       Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
27 Ogos 2018.



·   Tan  Sri Johan Jaaffar telah menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad, yang merakamkan pengalaman luar biasanya selama 50 tahun sebagai penonton, penulis skrip, pengarah, pelakon,  penerbit dan penelaah seni dan budaya. Beliau juga merupakan tokoh wartawan dan tokoh korporat.

Monday, April 16, 2018

MAJLIS PELANCARAN HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA)


Ucapan Tan Sri Johan Jaaffar Yang Mewakili Wartawan Veteran di Majlis Pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA)
Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE
11 April 2018



Peristiwa hari ini tentulah amat bersejarah bagi kaum wartawan negara ini. YAB Perdana Menteri akan merasmikan pelancaran Hari Wartawan Nasional Malaysia atau akan dikenal dengan akronim HAWANA yang pertama pada hari ini.

Moga-moga tarikh 29 Mei setiap tahun  akan menjadi satu tarikh penting bagi menjamin kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini di samping membuktikan komitman kerajaan menghargai fungsi media dan pengamalnya. Tarikh itu adalah tarikh kelahiran akhbar Utusan Melayu terbitan syarikat Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura pada tahun 1939.

Kita semua sedar peranan yang sangat penting yang dimainkan oleh wartawan dan media dalam negara membangun seperti ini – menjadi mata dan hati rakyat, menjadi suara bicara massa, bertindak sebagai check and balance, juga menjadi conscience sebuah negara bangsa.

Saya pernah berkhidmat dengan syarikat Utusan Melayu. Syarikat ini bermula dengan akhbar tulisan jawi Utusan Melayu yang terbit 79 tahun yang lalu. Akhbar yang dikatakan menjadi “suara keramat” orang Melayu itu lahir 63 tahun setelah munculnya akhbar Melayu yang pertama yakni Jawi Peranakan pada tahun 1876. 

Utusan Melayu 1939
Memang, akhbar tertua di negara ini, Straits Times lahir 94 tahun lebih awal (1845) tetapi Utusan Melayu  lahir sebagai kemuncak kebangkitan persuratkhabaran Melayu. Menurut W.R. Roff dalam bukunya, The Origins of Malay Nationalism, syarikat Utusan Melayumerupakan syarikat akhbar yang pertama yang dibiayai, disunting dan dikendalikan sepenuhnya oleh orang Melayu.

Saya berhak berbangga  menjadi sebahagian daripada tradisi gemilang syarikat dan akhbar Utusan Melayu. Sebelum saya, terdapat tokoh-tokoh wartawan yang hebat yang menyambung tugas yang dimainkan oleh Abdul Rahim Kajai, pengarangnya yang pertama, yang juga dianggap Bapa Kewartawanan Melayu. Nama-nama yang pernah menjadi pengarang syarikat akhbar itu seperti Said Zahari, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin merupakan legenda dalam dunia kewartawanan Melayu.

Pada waktu yang sama kita tidak harus melupakan peranan yang dimainkan oleh akhbar vernacular dalam bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak. Kita semua tahu bahawa dunia kewartawanan negara ini tidak kurang dramatiknya.  Malah berdasarkan sejarah Utusan Melayu tidak ada seorang pun  ketua pengarang sebelum saya, termasuk saya sendiri,  yang meninggalkan syarikat itu tanpa kontroversi. Bukan di Utusan Melayu sahaja sebenarnya kejadian “sekali air bah sekali pantai berubah” ini, ia  berlaku hampir di semua organisasi media.

Benarlah agaknya kata orang, old soldiers never die, they just fade away. Dalam dunia kewartawan, good editors don’t fade away, they got fired. 

Saya percaya teman-teman pimimpin redaksi media sedar itu tidak lebih daripada occupational hazards. Tapi mereka juga sedar bahawa mereka ada tanggungjawab yang besar pada negara. Sebagai pengarang atau wartawan mereka sebenarnya tidak penting. Tugas mereka yang lebih penting. Amanah yang diberikan pada mereka yang lebih penting.

Dan kita juga sedar tentang perubahan yang berlaku pada dunia media seluruhnya. Hari ini lanskap media telah berubah – Internet menjadi disruptor utama media. Media sosial mencorakkan dunia pemberitaan dan laporan. Tugas menyampaikan berita bukan eksklusif bagi organisasi media tapi nampaknya hak semua orang  -citizen journalism mulai mencorakkan dunia laporan semasa.

Dalam keadaan itu, organisasi media menghadapi cabaran luar biasa. Banyak syarikat raksaksa media dunia  menghadapi masalah. Di Malaysia, dalam masa tiga tahun kebelakangan ini saja, lebih 1,000 orang petugas media telah kehilangan pekerjaan. Rata-rata pendapatan syarikat media terjejas teruk.

Maka itu syarikat media harus membuat penyesuain. Mereka harus bersedia membuat transformasi secara besar-besaran.

Kita faham dilema yang dihadapi oleh media hari ini – tentang mempertahankan kualiti atau mengamalkan proses pentabloidan di mana konsumerisme menjadi juara. We don’t necessarily thrive on chaos. “Never let a serious crisis go to waste” bukan semestinya tagline kita. Bagi melariskan apa yang kita terbitkan atau siarkan, formula paling mudah adalah memberikan  apa sahaja yang pembaca, pendengar atau penonton mahu, sekalipun ia akan memungkinkan proses dumbing down masyarakat seluruhnya.

Saya teringat bait yang popular pada abad ke-19 di Fleet Street, London: 

Tickle the public, make ‘em grin
The more you tickle, the more you’ll win
Teach the public, you’ll never get rich
You’ll live like a beggar and die in the ditch

Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Saya teringat filem The Post arahan terbaru Steven Spielberg. Dalam filem itu apabila watak penerbit akhbar Washington Post, Katherine Graham yang dilakonkan oleh Meryl Streep menghadapi dilema untuk memastikan akhbar miliknya berjaya, beliau mengingatkan semua orang bahawa  quality and profitability must go hand-in-hand.” Kualiti harus memacu keuntungan.

Dalam senario inilah rakan-rakan pemgamal media harus sedar bahawa tuntutan untuk menjadi lebih credible dan lebih berintegriti semakin lantang.

Pengarang akhbar menghadapi dilema membuat keputusan saban hari – to print or not to print. Atau ada kalanya to spin or not to spin. Pada hari ini saingan kita bukanlagi sesama kita sahaja tetapi apa yang terdapat dalam dunia siber dengan pelbagai platform media sosial serta akhbar dan TV talian yang semakin rancak.

Memanglah dalam keadaan sedemikian kita sentiasa berada dalam keadaan genting untuk membuat keputusan  – “di belakang duri di depan api” – itubaris sajak yang amat terkenal yang ditulis oleh Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang bagi menggambarkan dilema para wartawan yang terbabit dalam mogok Utusan Melayu pada tahun 1961.

Saya percaya teman-teman wartawan setuju dengan saya bahawa yang tidak berubah adalah wartawan sendiri – tanggungjawab, etika, komitmen kita. Media arus perdana tentunya masih relevan sekalipun di tengah dinamisme baru yang mengubah dunia media itu sendiri. Pengamal medialah yang harus memastikan ia terus relevan.

Pimpinan politik akan datang dan pergi. Tapi kita berada di sini – kita akan dinilai bukan kerana kesetiaan kita tetapi kredibilkiti dan wibawa kita juga. Itulah legacy kita sebagai wartawan. Maka pertahankanlah integriti itu. Bagi golongan wartawan tidak ada yang lebih berharga daripada  itu.

Saya menyeru pada pimpinan politik untuk memberikan ruang sewajarnya pada wartawan. Hargailah mereka dengan menyediakan air cover sewajarnya agar mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang kondusif. Bantulah mereka dengan mengurangkan kekangan untuk mereka menjalankan tugas tanpa ragu dan takut. Pada akhirnya lanskap media yang vibrant dan terbuka amat bermanfaat bagi negara. Ini pernah ditegaskan sendiri oleh YAB Perdana Menteri kita dalam salah satu ucapan beliau kepada para wartawan tidak lama dulu. Kita tidak perlu gusar dengan Fourth Estate ini sekiranya kita sama-sama bertanggungjawab.

Filem Mudhalvan
Kita tidak sempurna, seperti juga pimpinan politik. Dalam ketidaksempuranaan itulah kita mahu menghasilkan yang terbaik. Pengamal media bukan mahu menjadi lebih pandai daripada sesiapa. Mereka sekadar ingin menjalankan tugas mereka. Ini bukan situasi dalam filem Mudhalvan (1999) di mana  Ketua Menteri Tamil Nadu mencabar seorang wartawan yang kritikal untuk mengambil tempatnya dalam masa  sehari. Wartawan itu menerima cabaran tersebut. Dalam filem arahan S. Shankar itu, ternyata wartawan itu berjaya menyelesaikan semua masalah dalam sehari. Itu mungkin hanya boleh berlaku di dalam filem.
            
Saya juga ingin mencadangkan kepada pimpinan politik kita agar memperbanyakkan konsultasi dengan pihak media.  Engage them. Mewujudkan dasar atau mengetengahkan sebarang akta boleh menjejaskan atau ditafsir sebagai menjejaskan kebebasan mediadan kebebasan bersuara amat counter-productive malah merugikan negara untuk jangka panjang.

Bagi menjaga integriti profesyen kewartawan agaknya lebih baik kita membuat kawalan dalaman daripada kita dikawal dari luar. Di sini saya  ingin menjengah kembali cadangan penubuhan sebuah Majlis Media Malaysia. Salah satu tugasnya adalah untuk menangani isu press complaints yang semakin lantang kedengaran. 

Ada kalanya kita mendengar sungutan mengenai  pelaporan yang tidak seimbang atau berat sebelah. Majlis ini juga akan memastikan fungsi sosial media diberikan perhatian serius. Majlis ini akan mewujudkan Media Accountability System (MAS) yang tersendiri.

Juga untuk mengawalselia takrifan “fake news” yang banyak dibincangkan akhir-akhir ini – daripada pespektif kewartawanan.

Lebih penting lagi untuk memastikan hak dan obligasi media dan pengamalnya diberikan perhatian yang secukupnya selain mengawalselia aspek akauntabiliti dan kod etika pengamal media.

Saya percaya Majlis Media Malaysia bukan pertindihan pada Malaysian Press Institute (MPI) yang sedia ada atau mana-mana persatuan wartawan seperti National Union of Journalists (NUJ).

Mungkin dengan penubuhan Majlis ini kita akan memberikan pengisian dan makna pada Hari Wartawan Nasional yang bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri sebentar lagi.
Sekian terima kasih




Monday, February 19, 2018

Shahnon Ahmad – Bintang Gemilang Di Dada Zaman

Rencana ini tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Februari 2018.

Oleh JOHAN JAAFFAR

Saya mendapat khabar dari teman-teman di DBP bahawa Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad tinggal bersama-sama anaknya di Bangi. Pada pagi Selasa, 16 Mei 2017, saya, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) dan mantan wartawan Utusan Melayu, Rosle Azme berkesempatan menziarah beliau.

Shahnon dibawa keluar dengan kerusi roda. Beliau kelihatan uzur kerena mengidap Myasthenia Gravis (MG) yang menyebabkan komplikasi daya tahan pada otot-ototnya. Lebih sukar lagi kerana penyakit itu menjejaskan otot lidah, rahang, mulut dan kerongkong yang menyebabkan makanan sukar dikunyah dan percakapan menjadi terhad. Menurut beliau menelan ubat pun satu penyiksaan. Pada waktu yang sama otot-otot utama di seluruh badan turut merosot.

Tan Sri Zam banyak bercerita tentang hubungan istimewa beliau dengan Shahnon. Pada buku Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi (terbit 2006) yang dihadiahkan untuk kami Shahnon menulis untuk TS Zam, “Kepada sahabat lama yang sibuk di Pasar Yaakob.”
Mereka sudah mengenal satu sama lain sewaktu TS Zam menyewa sebuah bilik kecil untuk menjalankan tugas sebagai wartawan sambilan dengan Utusan Melayu sewaktu berusia 18 tahun di Alor Setar. Di sanalah mereka mula bersahabat.  Malah Shahnon turut menjadi pengiring sewaktu TS Zam menikah pada bulan April 1965. 

Kami sama-sama terharu apabila melangkah keluar dari rumah anak Shahnon. Shahnon yang kami temui hari itu bukan Shahnon yang kami kenal selama ini. Lebih-lebih lagi bagi TS Zam yang mengenalnya lebih enam dekad. Saya faham kenapa TS Zam tidak turut terseret untuk “menolak” novel kontroversi Shahnon yang berjudul Shit yang terbit pada tahun 1999.  Dalam satu laporan yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia  pada 26 April 1999, TS Zam sendiri menyarankan Shit tidak perlu diharamkan.

Sayogia diingat, 1999 adalah tahun “panas” bagi politik Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad telah memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menterinya pada 2 September 1998. Ekoran daripada itu berlakulah ledakan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia. Maka berlakulah Gerakan Reformasi. Kemarahan terhadap Tun Mahathir membuak-buak ketika itu, khususnya di kalangan orang Melayu.

Saya turut terlibat dalam peristiwa itu. Proses “membersihkan” media dari “kroni Anwar” telah bermula awal lagi. Saya sendiri telah diminta meletakkan jawatan pada 14 Julai 1998. Pada masa itu saya menjadi ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu. Saya meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada bulan November 1992 untuk mengambilalih tempat TS Zam di Utusan Melayu. Usia saya baru 38 tahun ketika itu dan terpaksa memikul tanggungjawab memimpin akhbar milik UMNO. Pada era sebelum Internet dan media sosial, akhbar masih amat berpengaruh.

Selepas penyingkiran saya pada bulan Julai itu, Datuk Mohd Nazri Abdullah dari Berita Harian (juga salah seorang tuan punya syarikat MRCB yang memilikki syarikat New Straits Times Press) dan Sdr Yunus Said dari TV3 juga telah meletakkan jawatan.

TS Zam sendiri dilantik oleh Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif di Utusan Melayu bagi memastikan “kesetiaan” akhbar itu tidak berbelah bagi kepadanya. TS Zam telah “disingkirkan” oleh Tun Mahathir pada tahun 1992 dan saya mengambil alih tempatnya di kerusi yang panas itu. Dengan ketiadaan saya, timbalan saya, Datuk Khalid Mohd telah dilantik sebagai Ketua Pengarang menggantikan  saya.

Dalam konteks kontroversi ekoran penerbitan Shit, novel Shahnon yang ke-26 itu, tidak kurang 195 tulisan pro dan kontra telah direkodkan (banyaknya kontra). Banyak yang mengambil kesempatan mengecam Shahnon malah ada yang mencadangkan ditarik balik anugerah Sasterawan Negara yang diperolehinya pada tahun 1982. Shit dikatakan biadab, lucah, tidak bermoral dan macam-macam lagi. Tetapi terdapat juga  suara yang yang tidak kurang rasional mempertahankan kehadirannya, antaranya kenyataan TS Zam sendiri - sahabat yang tidak membuang persahabatan semata-mata kerana perbezaan faham politik. Walaupun Tan Sri Zam tidak bersetuju dengan novelitu tetapi beliau mengambil pertimbangan kebebasan berkarya dan bersuara dalam konteks itu.

 Sesuatu amat jelas pada Shahnon yang kami temui pagi 16 Mei itu – semangatnya kental, cintanya pada sastera tidak luntur dan ingatannya masih kuat. Namun demikian agak sukar untuk kami memahami tutur katanya. Tapi isteri beliau Datin Wan Fatimah dan anak beliau Azrul banyak membantu kami.

Saya menyerahkan buku saya Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad pada beliau. Saya catatkan nota ini untuk beliau: “Tokoh yang saya kagumi, sasterawan terbilang, guru pada sasterawan.” Saya punya alasan mengatakan demikian. Sekiranya ada sasterawan yang besar pengaruhnya pada penulisan kreatif saya, orang itu adalah Shahnon.

Memang banyak sasterawan besar yang lain yang menyebabkan saya mencintai sastera Melayu. Saya belajar di sekolah Inggeris, maka itu lebih banyak terdedah pada sastera dalam bahasa Inggeris. Saya mengenal sastera Melayu melalui tulisan Kamaluddin Mohamad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ismail, A. Samad Said dan banyak lagi.

Saya menulis dari usia yang sangat muda, menyumbang untuk majalah Dewan Pelajar (terbitan DBP) dan Utusan Kanak-Kanak dan Utusan Pelajar (terbitan Utusan Melayu) sejak tahun 1968 lagi. Saya banyak menyumbang pada akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu selain majalah seperti Mastika, Wanita dan Utusan Filem dan Fesyen terbitan Utusan Melayu. Pada awal tahun-tahun 70-an saya mencuba kekuatan saya dalam bidang cerpen.

Pada tahun 1971, DBP telah menerbitkan majalah Dewan Sastera yang dipimpin oleh Usman Awang. Saya percaya ia merupakan penerbitan yang amat penting dalam sastera Malaysia. Saya kemudiannya banyak menulis untuk majalah itu dan pada tahun 1989 menjadi Ketua Pengarang majalah tersebut. Dalam bidang drama, saya telah “ditemui” oleh Usman Awang apabila saya mementaskan drama “Kotaku Oh Kotaku” sewaktu Malam Berbunga Sajak II di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada tahun 1975. Drama saya itu menjadi hiasan kulit depan Dewan Sastera pada bulan Mac 1976.

Melalui Dewan Sastera dan ruangan sastera majalah dan akhbar tempatan saya mengenal Shahnon melalui cerpen-cerpennya. Cerpen-cerpen beliau seperti “Denak” (Dewan Masyarakat, Jun 1970), “Kalau Ibu Sampai takah Tiga” (Dewan Sastera, Februari 1971), “Igau” (Dewan Sastera, Disember 1971),  “Lagu Kit Kit Kit” (Berita Minggu, 13 Ogos 1972)  dan “Kelapa Nan Sebatang” (Dewan Sastera, September 1973) membuka cekerawala saya pada dunia penulisan cerpen.

Saya mengagumi teknik penulisan Shahnon melalui cerpen-cerpen itu. Dalam proses awal saya untuk mencari stail dan bentuk, cerpen-cerpen itu memberikan saya inspirasi baharu. Malah saya mengakui bahawa cerpen-cerpen awal saya seperti “Surat Dari Kampung” (Mingguan Rakyat, 14 Ogos 1976), “Warkah Dari Kota” (Utusan Zaman, 27 Jun 1976), “Surat Seorang Siswa” (Mingguan Malaysia, 9 Oktober 1978) dan “Peah” (Mingguan Malaysia 16 September 1976) banyak dipengaruhi oleh gaya Shahnon.

Kesemua cerpen ini serta 11 cerpen yang lain terkumpul dalam antologi Pelarian Sang Hero (terbitan Eastern University Press, 1980), saru-satunya antologi cerpen saya.

Saya juga terdedah pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ketiga beliau yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan Melayu pada tahun 1966. Seperti ribuah pelajar pada penghujung tahun 60-an dan awal 70-an, Ranjau Sepanjang Jalan menjadi bahan teks sastera. Generasi kami terdedah dengan kisah penderitaan keluarga petani bernama Lahuma dan isterinya Jeha serta tujuh orang anak perempuan mereka. Kami diperkenalkan dengan desa yang bernama Banggul Derdap serta banyak istilah dan ungkapan unik dari utara.

Ranjau Sepanjang Jalan adalah sebahagian daripada siri novel desanya yang bermula dengan Rentung (1965), novel beliau yang pertama. Dalam novel dan cerpenlah kekuatan Shahnon begitu ketara sekali. Shahnon menulis 33 buah novel, paling akhir Mahabbah. Banyak novelnya unik dan istimewa dan menjadi sebahagian daripada khazanah penting sastera Malaysia. Siapakah yang dapat melupakan Sampah (1974), Srengenge (1974), Seluang Menodak Baung (1978), Tuk Guru (1988), Sutan Banginda (1989) dan Tunggul-Tunggul Gerigis (1989)?

Shahnon bukan tanpa kontroversi. Novel beliau yang kedua Terdedah (1965) dianggap separa lucah. Ummi & Abang Syeikhul dihasilkan akibat pembabitan beliau dengan gerakan Al Arqam yang kemudiannya diharamkan. Soal ketuhanan dihujahnkannya dalam Protes  (1967). Beliau menyentuh isu politik dalam Menteri (1967) dan Perdana (1969). Shit tentunya menjadi novel yang paling kontroversil dalam sejarah novel tempatan kerana subjeknya.

Shahnon mengakui bahawa pada satu tahap dalam hidupnya beliau memanifestasikan “keberangan dan kepongahannya” melalui karya-karyanya. Beliau menghasilkan Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978), Patriarch (1991).    

Shahnon terbabit dalam Al Arqam kerana keyakinannya pada gerakan itu. Ini berlaku sepulangnya beliau dari Australian National University di Canberra, Australia. Selama empat tahun di sana (1968 hingga 1972) beliau juga terdedah dengan banyak perbincangan spiritual dan keagamaan. Menurut buku Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi, beliau mencari “jemaah yang tersurat rapi yang sahih matlamatnya dan sahih kaedahnya selaras dengan tuntutan Islam.” Di sana juga beliau mengenali seorang paderi Katholik bernama Jim Cox. Jim Cox akhirnya masuk Islam (menggunakan nama Yaakub bin Abdullah) dan mengahwini seorang gadis Melayu dari Kampung Kangkung, Simpang Empat, Kedah. 

Dalam proses pencarian sebuah Jemaah inilah Shahnon menemui Al Arqam. Beliau mengambil masa setahun untuk memahami Al Arqam sebelum menjadi ahlinya.  Beliau juga banyak membaca tulisan pengasas Al Arqam, Ustaz Ashari Muhammad. 

Dalam buku itu beliau menulis:

“Sayang! Al Arqam agak tergesa-gesa untuk mengecap nikmat perjuangannya sedangkan nikmat itu bukan untuknya sekarang, bukan untuk anak cucu cicitnya tapi untuk generasi masa depan yang bakal tiba.”

Pengalaman beliau dalam Al Arqam dirakamnya dalam novel Ummi & Abang Syeikhul. Ada banyak pemaparan dalam novel itu yang tentunya tidak disenangi oleh ahli-ahli Al Arqam. Malah buku itu mendedahkan tentang bagaimana Abang Syeikhul menjadi pemimpin yang oleh pengikutnya dipuja dan disanjung secara luar biasa.

Beliau juga aktif dalam Pas, antara lain kerana kekagumannya pada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan. Beliau bukan rapat pun dengan Nik Aziz, malah hanya bertemu dua kali, itupun tidak ada kesempatan untuk berbual atau berbincang. Tetapi Shahnon memiliki hampir kesemua rakaman ucapan dan syarahan Nik Aziz. Malah beliau mewujudkan sebuah ruang yang diberi nama “Pustaka Tuk Guru” di rumahnya.

Pasa waktu perdampingan dengan Pas, Shahnon banyak menulis novel yang kritikal terhadap pemerintah antaranya Sungai (1995), TIVI (1995), Igauan (1996), Pokok (1996) dan  Dongeng Hujan dan Kuda (1996). Pada kemuncak krisis penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shahnon menulis novella berjusuk Nurul Anak Papaku yang ditulis khusus untuk puteri mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau banyak kali menyebutkan sedang menyiapkan “novel terakhir” berjudul “Mahabbah” yang sehingga ini belum diterbitkan. Perkataan “Mahabbah” itu sendiri membawa makna yang tersendiri. Menurut beliau, sewaktu diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1982, beliau terfikir apakah agaknya tema ucapan balasnya. Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Ashari, dicadangkan beliau bercakap tentang “Mahabbah” – “Cinta”. Maka itulah tajuk dan tema ucapan penerimaan itu, yang tersiar sepenuhnya dalam Dewan Sastera, November 1982.

Idea tentang “cinta” itulah yang mahu dipanjangkan menjadi novel terakhirnya. Wallahualam, sama ada beliau dapat menyiapkan novel itu sehingga meninggalnya.  

Salah satu polimik yang menarik dalam sastera Melayu ialah tentang sastera Islam, yang menghujahkan isu kandungan dan arah tujunya. Sebelum ini kita tahu tentang polemik “Seni Untuk Seni” dan “Seni Untuk Masyarakat” yang mencorakkan gerakan Angkatan Sasteraan 50 (Asas 50). Shahnon sendiri walaupun bukan ahli Asas 50 berpegang pada konsep “Seni Untuk Masyarakat.”  Bagi beliau sastera ada peranannya, bukan sekadar untuk berkreasi atau untuk memperagakan kebolehan berkreasi. Soalan beliau adalah, “mengapa bersastera?” – teras yang menjadikan beliau menggunakan sastera untuk sesuatu matlamat. 

Beliau mengakui bahawa sastera itu “untuk menyedarkan masyarakat, untuk masyarakat bangun meruntuhkan segala ketidakadilan, memerangi segala rasuah dan sogokan, menentang segala kepalsuan, dan penyelewengan, dan kalau perlu, mencetuskan revolusi pun khusus untuk menjatuhkan pemerintah yang zalim dan korup dan digantikan dengan pemerintah yang baru yang adil dan berilmu.”  

Walaupun polimik “sastera Islam” ini menjadi “panas” pada tahun-tahuin 80-an tetapi Shahnon telah mula membicarakannya sejak penghujung tahun 70-an lagi. Seingat saya tulisan beliau dalam majalah Dewan Bahasa pada tahun 1977 sudah menyentuh soal konsep sastera Islam itu. Pada bulan Oktober 1978, beliau menulis sebuah esei “Sastera Melayu dan Islam” dalam Dewan Sastera. Untuk majalah Dakwah pada bulan Januari 1979, beliau menulis “Nilai Imaginasi Menurut Islam”. Sementara itu pada bulan Februari 1979, beliau menulis rencana “Penerapan Islam Menerusi Karya Kreatif” dalam majalah Hikmah.

Banyak reaksi terhadap isu sastera Islam ini pada tahun-tahun70-an dan  80-an membabitkan Kassim Ahmad, Mohd Affandi Hassan, Ahmad Kamal Abdullah dan ramai lagi. Begitu menarik debat antara Shahnon dan Kassim Ahmad hingga DBP menerbitkan sembilan buah rencana berkaitan dalam buku Polimik Sastera Islam Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad pada tahun 1987.

Kita mengagumi Shahnon kerana keupayaan sasteranya. Sejak cerpennya yang pertama tersiar (“Bingung” dalam Majalah Guru pada 24 Mei 1956) dan novelnya yang pertama (Rentung, 1965) Shahnon telah membuktikan kekuatan luar biasanya sebagai penulis kreatif. Kita juga tahu pengaruh Shahnon pada generasi sasterawan muda seperti saya dan ramai lagi. Kita mengakui bahawa beliau selayaknya memenangi Anugerah Sastera (penerima yang kedua selepas Keris Mas). Dan beliau telah memenangi sekian banyak hadiah sastera dalam pelbagai bentuk di dalam dan luar negara.

Kita juga tahu Shahnon juga tokoh akademik yang dihormati yang memulakan kariernya sebagai tutor dengan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) hingga akhirnya menjadi Professor Emeritus mulai tahun 1993.

Apa yang lebih pentingnya adalah legasinya dalam dunia persuratan.  Jasa beliau sama sekali tidak boleh dinafikan. Beliau raksaksa di dalam dunia persuratan negara – tokoh besar yang turut mewarnakan sastera Malaysia.

Di dalam autobiografinya, pada Bab ke-12 yang diberi nama “Kata Penutup Jalan”, beliau menulis, “Dan dengan ketenangan yang dikecapi itulah degupan jantung hati Endar tiba-tiba terhenti buat selama-lamanya.”

Itu berlaku pada jam 7.30 pagi hari Selasa 26 Disember 2107.

Maka berakhirlah perjalanan hidup seorang wira sastera luar biasa selama 84 tahun. Beliau manusia penuh warna warni dengan catatan kehidupan yang sangat istimewa. Juga pencipta karya sastera yang akan menjadi perbendaharaan kesusasteraan negara.

Beliau sasterawan juga ideolognya yang lantang, beliau seniman dan budayawan, beliau pencatat zaman, juga ahli politik, beliau penelaah ilmu sebagai sarjana dan seorang bapa, mentor dan idola bagi ratusan  sasterawan muda.

Beliau sememangnya bintang gemilang di dada zamannya.

Al Fatihah untuk Shahnon Ahmad.